Bintang muda Manchester United, Ethan Wheatley menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mempunyai pertalian dengan Malaysia.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan nenek Ethan berasal dari Selangor namun pemain itu serta-merta menafikan perkara tersebut sambil menegaskan beliau juga tidak mempunyai kaitan dengan Indonesia.
Baca Juga:
- Ethan Wheatley Sahkan Nenek Berasal Dari Malaysia, Berpotensi Beraksi Dengan Harimau Malaya
- Bintang Muda Manchester United Ini Calon Penyerang Skuad Harimau Malaya
- Ferdy Druijf Sedia Kemuka Bukti Ada Darah Keturunan Malaysia
“Saya tidak mempunyai darah Malaysia. Laporan itu salah, saya bukan warga Malaysia atau Indonesia,” kata pemain itu dipetik dari laporan Malaysia Gazette.
Salah sebuah laman iaitu Future Talents memuat naik perbualan mereka bersama penyerang berusia 18 tahun itu di laman media sosial baru-baru ini.
Dalam perbualan yang dimuat naik, Ethan menulis neneknya dilahirkan di Selangor sekaligus berpotensi untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Ethan Wheatley ketika ini berada dalam skuad Manchester Unite B-18 Tahun dimana beliau beraksi dalam saingan EPL B-18 Tahun dan juga saingan lain seperti Premier League 2 serta UEFA Youth League.
Dalam saingan EPL B-18 Tahun, Wheatley setakat ini menjaringkan lima gol dan menyumbang dua assist sekaligus membantu United menduduki tangga pertama dalam carta liga bahagian Utara.
Sebelum ini, seorang lagi pemain kacukan yang berpotensi iaitu Ferdy Druijf mengakui sedang mempersiapkan dokumen lengkap untuk membuktikan beliau memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah neneknya.
“Keinginan saya beraksi untuk Malaysia sentiasa ada. Sekarang saya sedang menyediakan dokumen demi membuktikan nenek saya sebenarnya lahir di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Druijf mengakui ibunya dilahirkan di Malaysia namun tidak menyebut secara jelas dari negeri mana ibunya berasal.
Pemain yang berusia 26 tahun itu turut mengikuti akaun media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui setiap perkembangan skuad Harimau Malaya.
Beliau kini beraksi bersama kelab Eredivisie Belanda, PEC Zwolle secara pinjaman dari kelab Austria, SK Rapid.
Calon pemain warisan ini merupakan produk akademi AZ Alkmaar dan kemudian beraksi bersama beberapa kelab di Belanda dan Belgium seperti NEC Nijmegen dan KV Mechelen sebelum menyertai SK Rapid.