Bintang muda Manchester United, Ethan Wheatley mengesahkan neneknya dilahirkan di Malaysia sekaligus berpotensi untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Perkara ini dikongsikan oleh Future Talents dimana mereka memuat naik perbualan bersama penyerang berusia 18 tahun itu di laman media sosial baru-baru ini.

Baca Juga:

“Benar nenek saya dilahirkan di Selangor tetapi beliau berpindah ke UK ketika masih muda. Ketika saya kanak-kanak, keluarga saya sering membawa saya ke Kuala Lumpur untuk bercuti” katanya.

Ethan Wheatley

Ethan Wheatley ketika ini berada dalam skuad Manchester Unite B-18 Tahun dimana beliau beraksi dalam saingan EPL B-18 Tahun dan juga saingan lain seperti Premier League 2 serta UEFA Youth League.

Dalam saingan EPL B-18 Tahun, Wheatley setakat ini menjaringkan lima gol dan menyumbang dua assist sekaligus membantu United menduduki tangga pertama dalam carta liga bahagian Utara.

Sebelum ini, seorang lagi pemain kacukan yang berpotensi iaitu Ferdy Druijf mengakui sedang mempersiapkan dokumen lengkap untuk membuktikan beliau memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah neneknya.

“Keinginan saya beraksi untuk Malaysia sentiasa ada. Sekarang saya sedang menyediakan dokumen demi membuktikan nenek saya sebenarnya lahir di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Druijf mengakui ibunya dilahirkan di Malaysia namun tidak menyebut secara jelas dari negeri mana ibunya berasal.

Pemain yang berusia 26 tahun itu turut mengikuti akaun media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui setiap perkembangan skuad Harimau Malaya.

Beliau kini beraksi bersama kelab Eredivisie Belanda, PEC Zwolle secara pinjaman dari kelab Austria, SK Rapid.

Calon pemain warisan ini merupakan produk akademi AZ Alkmaar dan kemudian beraksi bersama beberapa kelab di Belanda dan Belgium seperti NEC Nijmegen dan KV Mechelen sebelum menyertai SK Rapid.