Pasukan Formula Satu (F1), Oracle Red Bull Racing mencipta sejarah baharu menerusi aksi lagak ngeri julung kali diadakan apabila jentera ikonik RB8 dipandu di atas landasan kereta api bawah tanah Madrid Metro.

Aksi berani itu dilaksanakan bagi meraikan kepulangan semula kejohanan Grand Prix Sepanyol ke Madrid selepas 45 tahun.

Misi kejuruteraan kompleks yang membawa jentera juara dunia berganda itu ke Litar MadRing menerusi laluan bawah tanah turut dirakamkan dalam sebuah dokumentari pendek.

Mengubah suai jentera F1 untuk bergerak di atas landasan tren mengemukakan cabaran kejuruteraan unik yang belum pernah diuji. Walau bagaimanapun, kepakaran Pasukan Warisan (Heritage Team) Oracle Red Bull Racing bersama kolaborasi firma kejuruteraan dan kreatif Sepanyol, Andtonic, berjaya merealisasikan projek berkenaan.

Projek itu bermula di bengkel Canillejas menerusi rekaan dan pembuatan roda logam khas seberat 29.8 kilogram (kg) — dua kali ganda berat roda F1 standard — dalam tempoh singkat bagi membolehkan jentera RB8 meluncur di atas trek Madrid Metro.

Bekas pemandu F1, Patrick Friesacher yang mengendalikan jentera berkenaan melakar sejarah baharu dunia permotoran apabila meluncur laju melintasi stesen Estadio Metropolitano serta depot Sacedal dan Chamartín di dalam rangkaian laluan yang ditutup khas.

“Ia merupakan satu pengalaman yang luar biasa. Saya beruntung kerana telah melalui pelbagai cabaran bersama pasukan Warisan, namun memandu jentera F1 di atas landasan kereta api adalah sesuatu yang luar biasa. Sangat membanggakan apabila dapat menambah rekod sebagai ‘pemandu Metro’ dalam profil kerjaya saya,” kata Friesacher.

Litar MadRing dijadualkan menyediakan kemudahan akses mudah kepada peminat menerusi pembinaan stesen Metro baharu di dalam kompleks litar.

Kemudahan itu membolehkan ribuan penonton menggunakan perkhidmatan bawah tanah bagi menyaksikan Grand Prix pertama di Madrid sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 1981.

Aksi bersejarah ini merupakan sebahagian daripada jalinan kerjasama rasmi antara Red Bull dan MadRing dengan sokongan penuh pihak Metro de Madrid.