Pada minggu lalu peminat sukan permotoran tertarik dengan komen daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Sepang Antarabangsa (SIC) mengenai Formula Satu (F1) di Malaysia.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak SIC menyatakan kenyataan CEO merujuk khusus kepada pembaharuan kontrak MotoGP Malaysia selepas 2026, dan bukannya mengenai kemungkinan kembalinya F1 ke negara ini.
Baca Juga:
- Rindu Aksi Litar Sepang, Peminat Geleng Kepala F1 Minta Malaysia Bayar RM326 Juta Untuk Anjur Semula

- ‘Hentikan F1 Satu Kesilapan, Kos Bawa Balik Semula Lebih RM300 Juta Setahun’ – CEO Sepang


“Walaupun Formula 1 kekal sebagai sebahagian penting dalam sejarah kami, usaha mendapatkan semula hak penganjuran terbukti rumit dan mahal.
“Keutamaan utama adalah memastikan MotoGP terus kekal, kerana ia masih mendapat sambutan hangat daripada peminat Malaysia dan lebih mudah diakses sama ada dari sudut penonton mahupun penganjuran,” katanya.
Malaysia jadi tuan rumah MotoGP hingga 2026

Tambah SIC lagi, kontrak Malaysia sebagai tuan rumah MotoGP berlangsung sehingga tahun 2026.
SIC komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta dengan Dorna Sports S.L dan pihak berkepentingan lain yang relevan bagi memastikan kesinambungan acara sukan dua roda itu.
Pada masa sama SIC juga akan terus menyediakan data serta pandangan komprehensif mengenai impak ekonomi, pelancongan dan pembangunan bagi menyokong proses membuat keputusan berinformasi mengenai masa depan acara tersebut di Malaysia.
“Kami menghargai semangat yang ditunjukkan oleh orang awam dan pihak berkepentingan dalam perkara ini, dan sekali lagi menegaskan komitmen kami untuk memastikan masa depan MotoGP di Malaysia demi manfaat para peminat, rakan kerjasama dan negara,” kata SIC.