Legenda Itali, Fabio Cannavaro telah menyatakan persetujuan untuk membimbing skuad kebangsaan Uzbekistan bagi menghadapi Piala Dunia 2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan wartawan sukan terkenal dunia, Fabrizio Romano, pemenang Piala Dunia 2006 itu bersetuju untuk membimbing negara Asia tersebut dan bakal diumumkan secara rasmi dalam tempoh 24 jam akan datang.
Baca Juga:
- Layak Ke Piala Dunia, Pemain Dapat Kereta BYD Dari Presiden Uzbekistan

- Kerajaan Sepanyol Rancang Boikot Piala Dunia 2026 Jika Negara Haram Turut Bertanding

- Cape Verde, Populasi Tak Sampai 1 Juta Semakin Hampir Ke Piala Dunia

Asia Bukan Asing Buat Fabio Cannavaro
Asia nyata cukup sinonim dengan Cannavaro apabila sebelum ini beliau telah menghabiskan tujuh tahun sebagai jurulatih di peringkat kelab dan antarabangsa.
Karier pengurusan profesionalnya bermula dalam Chinese Super League bersama Guangzhou Evergrande di mana beliau berkhidmat selama lima musim sebagai ketua jurulatih dalam dua tempoh berbeza.
Di samping itu, pengendali berusia 52 tahun ini juga pernah membimbing gergasi Saudi Pro League, Al-Nassr serta mengendalikan skuad kebangsaan China.
Cannavaro kembali ke Eropah pada tahun 2022 dan melalui tempoh singkat bersama Benevento, Udinese serta Dinamo Zagreb.
Beliau menyertai kelab Croatia itu pada Disember 2024, namun hanya bertahan selama lima bulan sebelum dipecat selepas mengendalikan pasukan tersebut dalam 14 perlawanan sahaja.
Tugas berat bakal menanti Fabio Cannavaro dalam usaha menjelmakan keputusan positif buat Uzbekistan yang pertama kali berjaya mara ke Piala Dunia.
Timur Kapadze yang sebelum ini bertindak selaku ketua jurulatih hingga berjaya membawa Uzbekistan ke Piala Dunia akan menjadi pembantu kepada Cannavaro.