Malaysia mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) 2024 selepas tunduk kepada Uzbekistan 0-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar sebentar tadi.

Berdepan lawan yang merupakan naib juara edisi lalu menyaksikan anak buah Juan Torres Garrido dilihat cukup bergelut untuk mempamerkan aksi menarik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Barisan pemain negara terutamanya jentera tengah jelas sekali seperti kehilangan idea dalam usaha mereka untuk membina gerakan sepanjang perlawanan.

Luqman Hakim Shamsudin bagaimanapun terlebih dahulu cuba untuk menguji gawang lawan seawal minit pertama tetapi rembatannya daripada luar kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.

Pemain yang kini bersama kelab Jepun itu sekali lagi hampa apabila beliau sedikit lewat untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Mukhairi Ajmal dalam kawasan penalti pada minit keenam.

Malang menimpa skuad Malaysia selepas Syahir Bashah melakukan kekasaran terhadap Ruslanbek Jiyanov dalam kawasan penalti untuk menghadiahkan sepakan penalti buat Uzbekistan.

Jasurbek Jaloliddinov yang mengambil sepakan pada minit ke-11 tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Azim Al Amin untuk meletakkan Uzbekistan dihadapan.

Permulaan babak kedua menyaksikan sedikit perubahan dijelmakan oleh pemain negara berikutan kemasukan Najmudin Akmal tetapi masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan.

Sebaliknya, Uzbekistan berjaya mendapatkan jaringan kedua ketika aksi memasuki minit ke-83 berikutan kesilapan hantaran oleh Muhammad Abu Khalil kepada Khuisain Norchaev di kawasan sendiri.

Norchaev yang melakukan larian ke hadapan melorongkan baik buat Ulugbek Khosimov lalu menyudahkan peluang tersebut bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Uzbekistan ditangga teratas manakala dua lagi pasukan iaitu Vietnam dan Kuwait akan beraksi sebentar lagi.