Pengasas platform FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.

“Faham, tidak bersalah,” kata kedua-dua tertuduh secara berasingan ketika ditanya jurubahasa selepas pertuduhan dibacakan.

Baca Juga:

Kedua-duanya membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan ke atas Vivy dan Fadzarudin, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.

30 Maple, merupakan syarikat yang menjalankan jenama tudung mewah, dUCK, yang dimiliki oleh pasangan itu.