Pemain sayap Selangor, Faisal Halim bakal menjalani rawatan yang diberi nama Skin Allograft bagi merawat luka yang dialami selepas beliau disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Perubatan Sukan Selangor, Dr Muhammad Hazwan Khair dimana secara asasnya rawatan ini menggunakan kaedah kulit diperoleh dari penderma akan digunakan sebagai penutup sementara untuk menutup luka melecur sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup.

Baca Juga:

Menurut laporan Kosmo, rawatan tersebut akan memakan kos sekitar RM30,000 dan langkah ini dianggap sebagai langkah terbaik bagi membantu proses pemulihan Faisal.

“Berdasarkan kepada pakar bedah, prosedur lanjutan itu akan berlangsung dalam minggu ini. Dari segi otot, ia memerlukan rehabilitasi dan kita boleh jangka pada masa depan nanti,” kata Dr Hazwan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Dato’ Sri Shahril Mokhtar menyatakan Mickey telah selesai jalani pembedahan kedua yang berlangsung selama tiga jam petang semalam dan keadaannya makin stabil.

“Alhamdulillah, selepas alami pembedahan kedua selama tiga jam, pakar memberitahu keadaannya adalah cukup-cukup baik, terima kasih atas doa semua.

“Faisal Halim sudah boleh makan serta dia sendiri sudah teruja untuk bangun dan jalani aktiviti bola sepak, ini sangat membanggakan kerana dia membuktikan keazaman cukup hebat,” katanya.

Jelasnya lagi, pemain kebangsaan itu masih perlu menjalani beberapa pembedahan lagi dengan proses pemulihan dibuat secara berperingkat.

“Inysa-ALLAH, dalam masa seminggu ini, akan ada lagi. Tetapi, apabila berkata mengenai pembedahan, jangan rasa alarming kerana kesemua proses ini perlu dibuat secara berperingkat,” katanya.