Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempunyai pesanan terhadap page troll serta peminat bola sepak tanah air selepas kejadian Faisal Halim disimbah asid baru-baru ini.

Ketika ditemu bual di Wisma FAM semalam, beliau menyeru agar pentadbir kepada page troll, cytro dan juga peminat bola sepak tanah air agar segera berhenti menyebar kebencian dan mendoakan Faisal agar cepat sembuh.

Baca Juga:

“Saya menyeru kepada penyokong ataupun page troll yang mana ketika ini, Faisal perlukan doa dari kita semua untuk beliau cepat sembuh. Mereka perlu segera menyebar kebencian kerana Mickey sedang berada dalam keadaan susah.

“Kita patut sama-sama mendoakan Faisal dan berhenti melagakan penyokong mengenai bola sepak. Mereka tidak perlu membuat perkara yang tidak manfaat,” kata Datuk Hamidin.

FAM

Sebelum ini, peminat mahu pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap cytro dan troll page di media sosial yang sering memuat naik isi kandungan yang menyebarkan kebencian terhadap pemain dan juga sesama penyokong.

Sebelum ini, beberapa akaun di media sosial sering memuat naik kandungan yang menyasarkan pemain negara seperti Faisal selain menjadi batu api dengan memprovokasi peminat pasukan lain.

Perkara ini sekaligus mencetuskan pergaduhan di media sosial antara penyokong sekaligus memecah belahkan rakyat yang sepatutnya bersatu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan pemilik akaun media sosial yang menyebarkan hantaran bersifat peribadi terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

“Perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menumbuhkan rasa kebencian yang berlebihan. Yang mana isi kandungan posting (hantaran) itu cuma bertujuan untuk membangkitkan kebencian sahaja, menghina, memperlekeh.

“Ada sampai dalam kepada laporan kita (Kementerian Dalam Negeri) kewujudan beberapa laman sosial dalam bentuk Facebook dan sebagainya mensasarkan beberapa individu pemain-pemain bola kebangsaan,” kata Saifuddin.