Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mahu meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan pemain dilindungi ketika menjalankan tugasan bersama skuad kebangsaan baik di dalam mahupun luar negara.

Perkara ini dikongsikan oleh presiden badan itu iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin selepas kejadian yang menimpa dua pemain negara iaitu Faisal Halim yang disimbah asid dan Akhyar Rashid yang disamun baru-baru ini.

Baca Juga:

“Kejadian yang menimpa Faisal dan Akhyar merupakan insiden yang pertama kali berlaku seingat saya. Yang pertama, insiden ini amat menyedihkan dan mengejutkan. Jadi tindakan perlu diambil.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan pihak polis untuk mengetatkan lagi tahap keselamatan bagi melindungi pemain ketika mereka dipanggil bagi tugasan skuad kebangsaan, baik di dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemu bual di Wisma FAM baru-baru ini.

Akhyar Faisal

Dalam masa yang sama, Datuk Hamidin turut menasihati pemain agar sentiasa berwaspada apabila berada di khalayak ramai bagi memastikan kejadian yang menimpa Faisal dan Akhyar tidak berulang pada masa akan datang.

“Ingatan saya kepada semua pemain bahawa mereka ini bagaikan selebriti. Mereka perlu berwaspada sekiranya berada di khalayak ramai. Saya harap pihak berkuasa dapat membendung perkara ini agar tidak terjadi lagi,” tambahnya.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan Faisal Halim sebenarnya disimbah asid sulfurik pekat sehingga melecur ke tahap empat.

“Keadaan kecederaannya agak serius. Dia dalam keadaan sedar tapi badan dia memang sangat teruk. Asid yang disimbah kepada Faisal adalah asid sulfurik pekat,” kata Dr Johan.

Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Asid sulfurik (sulphuric acid) pekat, H2SO4, ialah cecair yang tak berwarna tetapi sangat berbahaya kerana sangat mengkakis (corrosive) dan mengakibatkan kulit melepuh dan melecur. Kesannya sangat teruk jika terkena kulit.