Tonggak Selangor FC, Faisal Halim tidak menyangka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudi berkunjung ke rumahnya hari ini untuk melawat sejak terkena simbahan asid pada bulan Mei lepas.

Pemain yang berusia 26 tahun itu menyifatkan kedatangan tokoh berpengaruh dunia itu memberikan semangat tambahan kepadanya untuk segera pulih dan kembali beraksi dalam sukan bola sepak.

Baca Juga:

“Tidak pernah terjangka untuk menerima kunjungan dari insan hebat hari ini. Terima kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi meluangkan masa untuk menziarahi saya sekeluarga.

“InsyaAllah, saya akan terus cekal dan berusaha keras untuk kembali suatu hari nanti. Terima kasih semua kerana terus mendoakan,” tulis Faisal atau dikenali sebagai Mickey di laman instagramnya.

Sebelum ini, Faisal membuat kemunculan buat kali pertama selepas beliau disimbah asid pada 5 Mei lalu dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor.

Menurut satu laporan dari Stadium Astro, Tun Dr Mahathir mengecam sekeras-kerasnya tindakan simbahan asid tersebut dan mahu tindakan undang-undang segera diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita perlu mencari siapa yang memulakan perkara ini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu terhadap sukan,” kata Tun Dr Mahathir.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Doktor menjangkakan proses pemulihannya akan memakan masa selama enam bulan sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan bersama pasukan.