Pemain bola jaring antarabangsa Uganda, Falidah Kadondi kembali memperkuatkan Perak Phoenix dalam menghadapi Netball Super League (NSL 2026).

Falidah yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Afrika Selatan turut memiliki pengalaman bermain di Liga Bola Jaring England bersama Nottingham Forest.

Beliau juga berada di prestasi terbaik selepas dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai Deloitte Netball Super League 2026 di Singapura pada Mac lalu.

Kehadiran pemain pertahanan berusia 27 tahun itu sekali gus menandakan beliau bakal menyarung jersi Perak Phoenix buat kali kedua selepas menikmati musim cemerlang pada 2023.

Falidah Kadondi

Pernah merasai pengalaman bersama Perak Phoenix menjadi sebab utama Falidah Kadondi memilih untuk sekali lagi bersama pasukan tersebut.

“Saya pernah bermain untuk Perak Phoenix pada 2023 dan kini saya kembali untuk musim 2026,” ujar Falidah bercakap kepada wakil The Vocket.

“Saya memilih untuk kembali kerana saya lebih suka bermain lama dengan satu pasukan berbanding bertukar-tukar pasukan setiap tahun. Sekurang-kurangnya anda tahu dengan siapa anda akan bermain. Bagi saya, Phoenix adalah seperti ‘rumah’ buat sendiri.”

Beliau turut meluahkan keterujaan menjelang musim baharu selepas melihat perkembangan positif dalam sesi latihan pasukan.

“Kami sudah melalui beberapa sesi latihan dan saya boleh katakan pasukan ini berada di landasan yang baik.”

“Sebagai satu pasukan, kami sangat menantikan musim baharu, dan secara peribadi saya mahu tampilkan prestasi terbaik seperti sebelum ini. Saya rasa penyokong juga teruja menunggu musim bermula, dan saya sendiri tidak sabar.”

Falidah Kadondi Yakin Potensi Pemain Muda Perak Phoenix

Falidah Kadondi dalam pada itu turut menyentuh mengenai komposisi skuad Perak Phoenix yang dibarisi ramai pemain muda, namun beliau melihat perkara itu sebagai satu kelebihan untuk jangka masa panjang.

“Kebanyakan pemain muda ini sebenarnya pernah bermain di peringkat kejohanan sebelum ini. Saya sendiri ada menonton mereka bermain, termasuk di ‘TikTok Live’.”

“Saya rasa mereka bukanlah pemain yang lemah. Mereka ada potensi yang baik. Dengan latihan dan pendedahan yang betul, mereka boleh berkembang dan bersaing dengan pemain antarabangsa.”

“Ini peluang yang sangat baik untuk generasi muda, bukan sahaja untuk pasukan tetapi juga untuk masa depan bola jaring Malaysia.”

Walaupun sasaran realistik mungkin berada dalam kelompok empat terbaik, Falidah dan rakan sepasukan mempunyai cita-cita lebih besar musim ini.

“Sudah tentu kami mampu berada dalam kelompok empat terbaik. Tetapi kami bukan hanya sasarkan empat teratas, kami mahu ke final dan memburu kejuaraan.”

“Apa pun yang berlaku nanti, kami akan berikan yang terbaik.”

Falidah Kadondi Idam Kejayaan NSL 2026, Yakin Pemain Muda Perak Phoenix Mampu Menyinar

Kehadiran semula Kadondi pastinya memberi suntikan besar buat Perak Phoenix dalam misi mereka mencabar kejuaraan musim ini.

Dalam perkembangan lain ketika mengulas mengenai saingan liga tempatan, Falidah Kadondi mengakui Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha meningkatkan kualiti liga bola jaring.

“Saya gembira dapat bermain dalam liga ini kerana ia sedang berkembang.”

“Saya pernah bermain di liga yang lebih besar, tetapi saya lihat Malaysia melakukan kerja yang baik kerana setiap tahun ada penambahbaikan untuk menjadikan liga ini lebih baik.

“Ini sesuatu yang positif untuk perkembangan bola jaring secara keseluruhan,” tambah beliau lagi.

Selain Falidah Kadondi, Perak Phoenix turut diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi pemain daripada skuad Piala Dunia Bola Jaring Uganda iaitu Haniisha Muhameed yang beraksi di posisi serangan.