Persaingan Netball Super League (NSL) 2026 yang dijadualkan bermula pada 18 April ini bakal menyaksikan suntikan semangat baharu buat pasukan Perak Phoenix selepas secara rasmi mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama syarikat tempatan, Extravaganza Futsal Shop (EFS).
Menerusi jenama EFS Jersey, syarikat milik anak jati Ipoh itu juga sah bergelar penaja utama buat skuad Perak Phoenix, sekali gus membuktikan komitmen jenama itu dalam menyokong pembangunan sukan wanita di peringkat kebangsaan.
Ia juga merupakan pertama kali dalam sejarah EFS terlibat secara langsung bagi menyokong perjalanan pasukan liga bola jaring paling berprestij tanah air itu.

Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan pembekalan jersi dan kelengkapan sukan yang berkualiti tinggi, malah ia dilihat sebagai pengiktirafan kepada kredibiliti pasukan Perak Phoenix.
Perak Phoenix merupakan salah sebuah pasukan yang dilihat mampu untuk menjadi pencabar hebat kepada pasukan-pasukan ternama dalam kancah NSL 2026.
Dengan sokongan padu daripada EFS, Perak Phoenix kini berada dalam fasa terakhir persiapan bagi menghadapi saingan liga yang mencabar.
Pihak pengurusan pasukan yakin kehadiran penaja utama ini akan meningkatkan moral pemain untuk mencabar kelompok teratas liga musim ini.
“Saya harapkan Perak Phoenix dapat mengecapi kejayaan berbanding daripada sebelum-sebelum ini. Sekiranya tak dapat pun, sekurang-kurangnya dapat kekal di empat pasukan teratas.”
“Yang penting barisan pemain Perak Phoenix dapat berikan yang terbaik buat negeri Perak,” ujar Naib Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Perak, Datin Farzana Binti Yusof.
Selain EFS, aspek kebajikan dan kecergasan pemain turut diperkukuhkan dengan penglibatan Activ8 Physio & Sports Rehab Ipoh yang tampil menaja perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi sukan sepanjang kejohanan berlangsung.
Kehadiran pakar dari Activ8 ini memastikan pemain berada pada tahap fizikal optimum dan mendapat rawatan pemulihan yang profesional.
Bagi memantapkan lagi persiapan teknikal, UiTM Shah Alam turut memberikan sokongan padu dengan menyediakan kemudahan fasiliti latihan buat Perak Phoenix.
Kerjasama ini membolehkan pasukan menjalani latihan dalam persekitaran yang kondusif sepanjang kempen NSL 2026.
Inisiatif Terbaik Bantu Perjalanan Perak Phoenix
Dalam perkembangan lain, Persatuan Bola Jaring Negeri PerakĀ mengambil inisiatif terpuji dengan mengadakan Majlis High-Tea Perak Phoenix di MH Hotel Ipoh dalam usaha mengumpul dana untuk melicinkan lagi perjalanan pasukan untuk mengharungi kempen NSL 2026.
Penggiat serta peminat bola jaring di seluruh negeri Perak berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan pemain Perak Phoenix dengan lebih dekat.

“Memang nak cari dana untuk Perak Phoenix memang agak sukar. Tapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Pada saya ia berlangsung dengan meriah berbanding apa yang kami jangkakan.”
“Jadi saya berharap pada tahun-tahun akan datang, jika saya diberikan peluang saya akan lakukan lebih baik dan lebih meriah untuk kenangan Perak Phoenix itu sendiri,” tambah Datin Farzana lagi.