Jersi baharu Manjung City FC bagi musim Liga A1 Semi Pro Malaysia 2025/26 hasil tajaan jenama tempatan EFS Jersey, mencuri perhatian dan menerima pujian ramai.
Jersi ‘Home’ pasukan digelar ‘The Ocean Rage’ itu tampil dengan sentuhan penuh warna biru laut dalam bersama corak yang diinspirasikan daripada tekstur kulit penyu, simbolik kepada identiti Manjung City FC yang berakar di kawasan pesisiran pantai.
Baca Juga:
- Liga A1 Semi Pro 2025-2026 – 12 Pasukan Sahkan Penyertaan

- Bunga Raya Damansara Kelab Pertama Liga A1 Dapat Tajaan Jenama Antarabangsa

- SMK Seri Manjung Juara Kejohanan Futsal MSSD Manjung Bawah 18 Tahun 2025


Ia menjadikan rekaan ini bukan sekadar pakaian tetapi secara tidak langsung memberikan penghormatan kepada alam sekitar kita.
Selain kombinasi warna dan rekaan menarik, logo timbul premium dan logo rasmi Manjung City FC menggunakan material tatami dalam memberi sentuhan eksklusif dan rasa kebanggaan.
Jersi itu juga turut dilengkapi dengan label tag TPU di bawah baju untuk identiti asli dan premium.
Respon Positif Penyokong Manjung City
Rata-rata peminat memuji rekaan bentuk jersi Manjung City FC yang disifatkan moden, kemas dan berani menampilkan elemen tempatan yang jarang diketengahkan dalam rekaan jersi pasukan bola sepak tempatan.
Tinjauan di laman sosial rasmi Manjung City FC juga menyaksikan para peminat memberikan respon positif terhadap rekaan jersi tersebut, dengan ramai yang meluahkan keterujaan untuk mendapatkannya secepat mungkin.
Malah ada yang mengatakan kelab tersebut tidak pernah mengecewakan dalam mengeluarkan jersi-jersi menarik sejak mula menyertai saingan Liga A1 sejak 2022.
Jualan fizikal di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bermula jam 5.00 petang tadi bersempena aksi sulung Liga A1 Semi Pro Malaysia 2025/26 bertemu Imigresen FC II juga menunjukkan sambutan menggalakkan daripada peminat setia kelab tersebut.

Dalam tempoh kurang dua jam, hampir 200 helai jersi terjual meliputi jersi ‘Player, Fan Issue dan jersi kanak-kanak’.
Menurut Pengurus Syarikat EFS Jersey, Zharif Yusoff berikutan sambutan menggalakkan dan permintaan peminat, jualan atas talian akan turut diadakan bermula hari Isnin (4 Ogos 2025) nanti.
Dengan sokongan padu peminat serta kepercayaan terhadap jenama tempatan seperti EFS Jersey, Manjung City FC dilihat berada di landasan tepat untuk terus berkembang sebagai kelab yang bukan sahaja kompetitif tetapi juga berkarakter kuat di mata penyokong dan pencinta bola sepak tanah air.