Perlis GSA meminta maaf kepada penyokong dan pada masa yang sama memberikan alasan kenapa pasukan mereka hanya menurunkan 8 pemain dalam aksi Liga A1 Semipro menentang Kelantan WTS baru baru ini.
Dalam kenyataannya, Perlis GSA menyatakan bahawa ada 3 alasan utama kenapa hanya 8 orang sahaja yang tersedia untuk bermain.
Pertamanya adalah isu kecederaan serius melibatkan beberapa pemain. Seterusnya, ada beberapa pemain menjalani penggantungan.
Dan ketiga adalah, ada pemain yang terikat dengan komitmen kerja di luar padang.
Perlis GSA dalam kenyataanya berkata: “Perlis GSA FC ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pihak yang terlibat dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro malam tadi menentang Kelantan WTS FC.
“Kami ingin menjelaskan situasi sebenar di pihak kami yang menyebabkan pasukan hanya dapat menurunkan 8 orang pemain:
– Beberapa pemain utama sedang mengalami kecederaan serius dan tidak dapat diturunkan.
– Ada pemain yang sedang menjalani penggantungan akibat kad perlawanan.
– Beberapa pemain menghadapi komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Keadaan ini adalah di luar kawalan pihak kelab dan kami memohon maaf kerana tidak dapat menurunkan pasukan yang lengkap.

“Kami menghormati keputusan rasmi pihak pengadil dan Liga A1 Semi-Pro, namun kami juga ingin menyatakan bahawa kami bertekad untuk memperkuat pasukan dan kembali lebih mantap pada perlawanan seterusnya.
“Kami juga ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pemain dan pengurusan yang telah berusaha keras walaupun dalam keadaan sukar ini. Sokongan dan dedikasi anda semua adalah tulang belakang kelab ini.
“Terima kasih atas sokongan berterusan dari semua pihak. Menang Tak Gah, Kalah Tak Rebah.”