Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) melakukan penstrukturan semula apabila melantik Setiausaha Eksekutif, Faliq Firdaus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC) yang baharu.

Perkembangan itu diumumkan oleh Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri dalam satu kenyataan rasmi.

Baca Juga:

Faliq berpengalaman di dalam sektor pemasaran sukan dan merupakan Bendahari Persatuan Pengurusan Industri Sukan Malaysia (PRISM).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Media &
Komunikasi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di Majlis Sukan Negara dan Pengurus di Malaysian Grassroots League (MGL).

Faliq sebelum itu pernah menimba pengalaman dalam bidang media bersama majalah Dunia Sukan dan Frenz United. Beliau kini CEO termuda untuk pasukan Liga Malaysia pada usia 31 tahun.

Penstrukturan semula NSFC kali ini melibatkan enam teras utama iaitu pengenalan falsafah bola sepak kelab, pelan perniagaan baru, penstrukturan semula tangga gaji, pembangunan infrastuktur, pembangunan pasukan belia, dan pemerkasaan hubungan antara pemegang taruh.

Satu jawatankuasa pemilihan juga telah dibentuk bagi memilih Ketua Jurulatih Liga Super NSFC yang baharu, dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jawatankuasa tersebut akan dibarisi oleh kepimpinan tertinggi PBNS dan pengurusan NSFC.

Musim lepas, NSFC yang dibimbing oleh K.Devan berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 27 mata selepas hanya mencatat 6 kemenangan, 9 seri dan 11 kekalahan.