Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan siasatan dalaman bagi mencari siapa yang menghantar surat layang kepada beberapa individu terpilih baru-baru ini.

Dalam satu sidang akhbar selepas Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya pada Isnin, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin mengulas mengenai surat layang yang beredar dimana beliau menganggap surat itu sebagai satu fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

Baca Juga:

Oleh itu, Datuk Hamidin menegaskan pihaknya akan melakukan siasatan dalaman bagi mencari sumber ataupun individu yang menghantar surat tersebut.

“Kalau surat seperti ini dihantar setiap masa, letih juga kita nak melayan. Kami telah bersetuju untuk melakukan siasatan dan mencari punca dari mana dan siapa yang menghantar email ini.

“Sekiranya ada staf FAM yang terlibat, maka kita akan mengambil tindakan terhadap beliau,” katanya.

Dalam masa yang sama, Datuk Hamidin kesal dengan beredarnya surat layang tersebut namun beliau dan pemegang taruh dalam badan itu harus kuat berdepan dengan isu sedia ada.

“Saya sedih surat layang itu datang pada 10 malam terakhir Ramadan tapi kita kena tabah untuk menghadapinya. Kita tahu apabila surat layang ini keluar, netizen akan terus menghukum.

“Kalau anda semua boleh lihat dan nilai sama ada dia ada niat baik atau tidak baik untuk bola sepak negara. Kalau macam ini susah kita nak pergi Piala Dunia,” katanya.