Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan pengendalian VAR yang dilakukan oleh pengadil VAR dalam saingan Liga Malaysia.
Musim ini adalah musim pertama Liga M menggunakan VAR. Dan FAM menyifatkan markah untuk pengadil VAR sebagai cemerlang.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menyatakan bahawa setakat ini sudah 80 perlawanan Liga Malaysia musim 2024/25 menggunakan VAR.
Dan pengadil VAR Liga Malaysia berjaya mengikut garis panduan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), bilangan ‘On-field Review’ (OFR) dan masa tambahan ‘VAR Review’ di Liga M kini berada di paras yang sangat rendah.
Ini membuktikan kecekapan pengendalian VAR di Malaysia, tegas beliau.
“Purata ‘On-field Review’ adalah 0.57 ‘per match’ dan jumlah masa tambahan yang diguna untuk ‘VAR Review’ adalah 2.27m ‘per match’,” kata Sivasundaram seperti yang dilaporkan Buletin TV3.
“Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik seperti mana standard operasi VAR yang ditetapkan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” tambah beliau lagi.
Seterusnya Sivasundaram mengesahkan bahawa FAM dan MFL akan memulakan sesi latihan untuk batch kedua bagi pengendalian VAR. Kursus itu akan berakhir pada Februari 2025. Seramai 21 orang pengadil akan dilatih menjadi pengadil VAR, dan 21 orang lagi sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR).
Kemudian, terdapat 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO). Dalam kenyataan media yang sama, Sivansundaram mengesahkan kali ini ada pengadil tiga wanita yang terlibat dalam latihan VAR.