Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk menghidupkan semula program Harimau Muda bagi memastikan pemain muda mempunyai kesinambungan dari peringkat bawah ke peringkat skuad senior.

Perkara ini disuarakan oleh presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin dimana beliau menegaskan pihaknya sedang mempersiapkan pemain bagi mengharungi pusingan kelayakan untuk ke temasya Sukan Olimpik pada 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Baca Juga:

“Saya sudah beri arahan kepada jawatankuasa teknikal dan Pengarah Teknikal mengenai kesinambungan pemain muda kita dan juga persiapan untuk proses kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2028 di LA nanti.

“Antara yang dibincangkan ialah menghidupkan semula program Harimau Muda A dan B seperti yang dilakukan ketika bersama Datuk Ong Kim Swee sebelum ini. Tapi kita perlu sokongan dari menteri kerana melibatkan dana yang tinggi untuk bermain di luar negara atau dalam saingan Liga Malaysia.

“Ini kerana kita akan mengikat pemain dengan kontrak. Kita batalkan program skuad FAM-MSN kerana mungkin pemain yang diambil terlalu muda dan kualiti juga tidak berapa baik dan pemain terbaik telah menandatangani kontrak dengan kelab Liga Malaysia.

“Kalau kita wujudkan Harimau Muda, maka pemain mungkin mendapat pelepasan dari kelab bagi memastikan mereka mendapat pendedahan. Itu perancangan yang kami mahu lakukan,” katanya ketika ditemu bual di Wisma FAM baru-baru ini.

Ditanya mengenai liga mana yang bakal diharungi oleh pasukan yang bakal dibentuk nanti, Datuk Hamidin tidak mendedahkan tetapi sudah mengenal pasti negara yang dinilai berpotensi untuk meningkatkan kualiti pemain.

Harimau Muda merujuk kepada pasukan Malaysia Bawah 21 Tahun (B-21) yang beraksi dalam beberapa saingan liga sebelum dibubarkan pada November 2015. Pasukan ini membuat kemunculan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Malaysia musim 2007/08 dan 2009.

Pasukan A bersaing dalam saingan Liga Super 2011 dan Liga Singapura pada 2012. Manakala pasukan B pula bersaing dalam Liga Perdana 2011 dan 2012 sebelum menggantikan pasukan A untuk saingan Liga Singapura pada 2013.

Satu lagi pasukan Harimau Muda dibentuk iaitu pasukan C yang bersaing dalam saingan Liga FAM. Ketiga-tiga pasukan ini kemudiannya dibubarkan pada penghujung 2015 dengan semua pemain kembali ke negeri masing-masing.