Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, memerintahkan pasangan selebriti, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.
Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian bagi bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga menerusi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit, lapor Harian Metro.
Baca Juga:
- Diana Danielle Tuntut Cerai Daripada Farid Kamil
- ‘Pindah Secepat Mungkin,’ Diana Danielle Halau Farid Kamil Dari Rumah
- Masih Sayangkan Isteri Dan Anaknya, Farid Kamil Akan Buat Apa Sahaja Demi Pertahankan Rumah Tangganya
Mahkamah menetapkan tarikh 24 Mac tahun depan untuk sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak.
Semasa prosiding pagi tadi, Diana diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Sementara itu, Diana menyifatkan tindakan suami, Farid Kamil, memanjangkan prosiding tuntutan perceraian sebagai memualkan, petik Utusan.
Ini kerana dia sudah memberi peluang kepada suami untuk memperbaiki rumah tangga, namun Farid mensia-siakan kesempatan tersebut.
“Dia tidak berpijak di bumi nyata. Tiada apa lagi untuk diselamatkan. Bila saya sudah rujuk selama setahun, bukankah itu satu peluang untuk berdamai dan perbaiki diri? Tetapi dia gagal melakukannya.
“Jadi, adakah saya perlu terus berharap? Bagi saya, ini semua membuang masa kami berdua,” jelas Diana.
Terdahulu, Diana memuat naik hantaran Instagram menyatakan bahawa dia secara rasminya sedang berpisah dengan suaminya pada akhir Oktober lepas.