Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan berhubung kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta yang melibatkan dua gergasi pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), dalam platform e-dagang FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada Berita Harian bahawa transaksi ini telah dikesan sejak tahun 2018 sehingga 2023, menimbulkan spekulasi besar tentang ke mana wang ini sebenarnya mengalir.

Menurut Azam, pasukan penyiasat SPRM telah mengenal pasti beberapa aliran transaksi akaun yang “meragukan” dalam FashionValet dan beberapa pihak lain.
Azam menambah bahawa SPRM telah merampas kira-kira 60 kotak dokumen daripada FashionValet, Khazanah, dan PNB untuk membantu siasatan lanjut.
Pasukan forensik perakaunan SPRM kini sedang menyemak dokumen-dokumen tersebut bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah rasuah atau kemungkinan penipuan.
SPRM kini fokus pada siasatan aliran dana—dari mana puncanya, ke mana ia dibelanjakan, dan sama ada terdapat bukti penyalahgunaan pelaburan.
Menurut Azam, mereka percaya bahawa sebahagian pelaburan ini mungkin telah disalahgunakan, dan SPRM sedang berusaha mengenal pasti bagaimana dana ini digunakan.
Untuk rekod, SPRM telah menggeledah kediaman pasangan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Hasil penggeledahan itu, SPRM merampas 11 beg tangan berjenama serta seutas jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai sekitar RM200,000.
Tidak cukup dengan itu, beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan tersebut turut dibekukan oleh pihak berkuasa.
Menariknya, SPRM juga menyatakan bahawa mereka dalam proses untuk mengenal pasti barangan mewah milik pasangan ini yang pernah dipaparkan di media sosial.
“Mereka perlu memberi kerjasama dalam mengenal pasti barangan yang telah ditunjukkan sebelum ini di media sosial,” kata Azam, menambah satu lagi siri siasatan apabila kekayaan yang dipaparkan di ruang maya kini diperhatikan pihak berkuasa.
Walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh SPRM, pasangan pengasas FashionValet itu masih belum ditahan kerana mereka dikatakan memberi kerjasama penuh dalam siasatan.