Badan bebas First Instance Body (FIB) memberikan penjelasan berhubung isu tunggakan pembayaran yang dikaitkan dengan kelab Kelantan Darul Naim FC bagi kitaran pelesenan kelab musim 2024–2025.

Merujuk kepada Artikel F.04 di bawah Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025, setiap pemohon lesen wajib membuktikan bahawa tiada tunggakan bayaran atau mempunyai pelan penyelesaian bayaran tunggakan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak terhadap pekerja serta pihak berkuasa seperti LHDN, KWSP, PERKESO dan EIS setakat 31 Disember 2024.

Baca Juga:

FIB menerusi Unit Pelesenan Kelab MFL telah membuat semakan dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan mengesahkan bahawa KDN FC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.

FIB
Kelantan Darul Naim

Bagaimanapun KDN FC telah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun menerusi surat persetujuan bersama yang telah ditandatangani semua pemain terlibat.

Dokumen sokongan ini jelas memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam Artikel F.04 namun Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau secara berterusan pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun ini.

Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, KDN FC telah mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi tersebut.

FIB
Kelantan Darul Naim

Sebagai langkah susulan, pihak FIB telah mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran tersebut melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan.

FIB menegaskan bahawa jika terdapat sebarang isu berhubung semua penyerahan atau sebarang pengisytiharan yang tidak tepat kepada CLA MFL bagi tujuan memperoleh lesen untuk musim 2025-2026, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara tersebut.