Para pemain bola sepak selalu didenda dan digantung jika memaparkan mesej politik. Itu prinsip FIFA sejak dulu: ‘bola sepak bebas daripada agenda politik’.
Tapi pada Jumaat, presiden FIFA Gianni Infantino melakukan sesuatu yang membuat ramai ternganga — beliau menghadiahkan FIFA Peace Prize pertama dalam sejarah kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Akibat anugerah yang dianggap ironi itu, ramai yang menyindir dan mengecam FIFA, terutama sekali Infantino.
FIFA Cipta Hadiah Peace Sebab Trump Tak Menang Nobel
Pemberian anugerah itu hadir kurang 24 jam selepas pentadbiran Trump melancarkan satu lagi serangan udara maut di Caribbean.
Craig Mokhiber, bekas pegawai PBB yang lantang mengkritik Israel dan FIFA, terus meletup:
“Ini perkembangan yang memalukan. FIFA bersekongkol dalam genosid Palestin dua tahun, kemudian cipta pula ‘hadiah keamanan’ untuk ambil hati Trump.”
Menurut beliau, anugerah itu seolah-olah “mengaburi” rekod buruk Trump — daripada sokongan terhadap Israel, serangan udara di Caribbean, hingga pelanggaran hak asasi di dalam negara.
Infantino pula masih berpegang pada skrip lamanya: bola sepak tak boleh selesaikan isu geopolitik. Ironinya? Anugerah ‘keamanan’ ini baru saja diserahkan kepada lelaki yang penuh kontroversi geopolitik.
Infantino Puji Trump Melangit
Ketika majlis penyampaian, Infantino memuji diplomasi Trump termasuk Perjanjian Abraham. Katanya, Trump seorang pemimpin yang “mengambil berat tentang rakyat” dan “mahu dunia selamat”.
“Tuan Presiden, anda benar-benar layak menerima Anugerah Keamanan FIFA pertama ini.”
Trump pula, seperti biasa penuh keyakinan, menyamakan anugerah itu sebagai antara “penghormatan terbesar” dalam hidupnya. Beliau juga sempat menyindir pentadbiran Joe Biden:
“Setahun lalu, Amerika tak begitu baik. Sekarang kami negara paling ‘panas’ di dunia.”
Kritikan Di Media Sosial
Infantino sebelum ini berulang kali beritahu dunia bahawa bola sepak tak patut digunakan untuk mencetuskan perpecahan.
Tetapi kini dua tahun kemudian, beliau mencipta anugerah ‘keamanan dan perpaduan’ — lalu memberikannya kepada presiden yang baru saja menggelar rakyat Somalia sebagai “sampah”.
Wartawan bola sepak Zach Lowy membakar situasi: “Bagi Trump anugerah perdamaian macam bagi Luis Suárez anugerah sebab tak gigit telinga orang.”
Parti Demokrat di AS turut sempat menyindir: “Trump tak menang Nobel Peace Prize, jadi FIFA ciptalah hadiah baru untuk dia.”
Rekod Buruk Trump
Walaupun Trump ada terlibat dalam beberapa rundingan damai, pentadbirannya juga dikaitkan dengan:
– Serangan terhadap kemudahan nuklear Iran
– Membekalkan senjata kepada Israel walaupun laporan pencabulan hak asasi
– 22 serangan udara terhadap kapal yang didakwa bawa dadah, meragut 86 nyawa
– Penghimpunan aset tentera berhampiran Venezuela
– Tindakan keras anti-imigresen dalam negara
Human Rights Watch ringkas saja ulasannya: “Rekod hak asasi Trump langsung tidak menunjukkan ‘tindakan luar biasa untuk keamanan dan perpaduan’.”
Mokhiber mengakhiri kritikannya dengan ayat paling pedas: “FIFA tak benarkan bermain di padang berlumpur. Mereka tentu tak patut bermain di padang berdarah. Tapi ke situlah Infantino bawa FIFA.”