Isu melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia terus memasuki fasa lebih serius apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam alasan bertulis dikeluarkan mendedahkan bahawa kes tersebut perlu disiasat pihak berkuasa jenayah di lima negara.
Lima negara yang dimaksudkan ialah negara kelahiran barisan pemain warisan tersebut termasuklah Malaysia.
Baca Juga:
- FAM Sahkan Akan ‘Lawan’ Keputusan FIFA Di CAS Demi Tegakkan Keadilan

- FAM Terkejut Keputusan FIFA, Nekad Bawa Kes Ke CAS Demi Kepentingan Bola Sepak Malaysia Dan Hak Pemain

- Rayuan Ditolak, FIFA Kekalkan Hukuman Terhadap FAM Dan Tujuh Pemain Warisan

Menurut dokumen rasmi itu dalam perkara 304, Jawatankuasa Rayuan FIFA menyifatkan kesalahan terbabit terutamanya unsur pemalsuan dokumen rasmi sebagai kes yang berada pada tahap serius dan memerlukan tindakan lanjut di luar kerangka perundangan sukan.
Saranan Dari FIFA
“Memandangkan sifat dan tahap serius kesalahan ini terutamanya pemalsuan dokumen rasmi, jawatankuasa mengarahkan sekretariat untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memaklumkan pihak berkuasa jenayah yang kompeten di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.”
“Pemalsuan adalah satu kesalahan jenayah di bidang kuasa berkenaan dan penting supaya pihak berkuasa dimaklumkan supaya siasatan serta prosiding jenayah yang sesuai dapat dijalankan.”
Selain itu, FIFA turut berpendapat siasatan perlu dilakukan terhadap Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan dua ejen berdaftar dengan badan induk dunia itu iaitu Nicolas Puppo dan Frederico Moraes kerana penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang wajar diberi penelitian menyeluruh.
Pendedahan ini sekali lagi menguatkan naratif bahawa isu salah laku pendaftaran pemain warisan Malaysia bukan sekadar melibatkan kelayakan atau prosedur dokumentasi biasa.
Namun, ia secara tidak langsung telah berkembang menjadi kes yang berpotensi melibatkan tindakan undang-undang jenayah antarabangsa.
Sebelum ini pada 3 November, rayuan yang difailkan oleh FAM bersama tujuh pemain warisan ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA sekali gus mengekalkan keputusan asal berhubung isu pemalsuan dan penipuan dokumen.
Manakala sebentar tadi, FAM mengesahkan akan ‘berjuang’ di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam usaha menegakkan keadilan bagi pihak badan induk bola sepak negara itu.