Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan usaha mempertahankan hak tujuh pemain warisan negara apabila badan induk itu mengumumkan langkah membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

Laporan 3 November lalu menyebut bahawa rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain warisan berakhir dengan keputusan yang tidak memihak kepada mereka selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman asal berkaitan isu pemalsuan dan penipuan dokumen.

Menurut FIFA, kesemua yang terlibat mempunyai tempoh 10 hari untuk meminta keputusan yang disertakan alasan rasmi dan selepas itu, pihak-pihak terlibat mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sehubungan dengan itu dalam usaha untuk menegakkan kebenaran, FAM mengambil keputusan untuk meneruskan pengadilan ke mahkamah tersebut.

Perkembangan terkini itu disahkan FAM menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan pemangku presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi berhubung tindakan tersebut, sebentar tadi.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa kami telah menerima alasan penuh keputusan yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penolakan rayuan FAM berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.”
“Sehubungan itu, FAM akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).”
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.”
“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.”
Sumber