Rayuan yang difailkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berakhir dengan keputusan yang tidak memihak kepada mereka selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman asal berkaitan isu pemalsuan dan penipuan dokumen.
Ia berikutan kenyataan rasmi yang dikeluarkan FIFA sebentar tadi berhubung rayuan tersebut.
Baca Juga:
- Arif Aiman Ucap Terima Kasih TMJ Dan Titipkan Sokongan Kepada 7 Pemain Warisan

- Rob Friend Akui Terkejut Dengan Hukuman FIFA Terhadap Malaysia, Tetap Hormati Prosiding Sedang Berlangsung

- Kerajaan Disaran Tubuh Suruhanjaya Siasatan Bebas Siasat Kes 7 Pemain Warisan

“Jawatankuasa Rayuan FIFA telah membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano berhubung keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA berkaitan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) mengenai pemalsuan dan penipuan dokumen.”
“Selepas meneliti semua penghujahan dan menjalankan pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan tersebut dan mengesahkan sepenuhnya hukuman yang telah dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain berkenaan.”
Hukuman Buat FAM Dan Tujuh Pemain Warisan
Ini bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diarahkan membayar denda sebanyak CHF 350,000 kepada FIFA.
Manakala Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula masing-masing dikenakan denda sebanyak CHF 2,000 kepada FIFA.
Selain itu, pemain-pemain tersebut turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Menurut kenyataan tersebut lagi, FAM dan para pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan ini pada hari ini.
Kesemua yang terlibat mempunyai tempoh 10 hari untuk meminta keputusan yang disertakan alasan rasmi dan selepas itu, pihak-pihak terlibat mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).