Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan mereka mengharamkan tiga negara untuk beraksi dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 atas beberapa faktor.

Negara pertama yang digantung ialah Russia dimana mereka kekal digantung dari menyertai semua kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia dan Kejohanan Eropah selepas pencerobohan negara itu ke atas Ukraine pada 2022 lalu.

Hukuman ini turut berlaku ke atas kelab Russia dimana kelab dari negara itu tidak dibenarkan beraksi dalam manamana kejohanan yang dikelola oleh FIFA ataupun UEFA.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, FIFA turut menggantung Persatuan Bola Sepak Congo (FECOFOOT) dan Persekutuan Bola Sepak Pakistan (PFF) yang berkuat kuasa serta-merta sekaligus kedua-duanya tidak dibenarkan menyertai kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

FIFA
A FIFA sign is seen outside the FIFA headquarters in Zurich, Switzerland December 17, 2015. REUTERS/Ruben Sprich/Files

“FECOFOOT digantung serta-merta kerana campur tangan serius pihak ketiga dalam urusan organisasi yang melanggar Statut FIFA,” jelas FIFA dalam satu kenyataan.

“Penggantungan akan ditarik balik akan tertakluk kepada syarat berikut:

1. Mengembalikan kawalan penuh ibu pejabat FECOFOOT, Pusat Teknikal Ignié dan kemudahan persatuan yang lain kepada FECOFOOT;

2. Berhenti daripada sebarang usaha untuk menukar penandatangan akaun bank FECOFOOT dan/atau memberikan kawalan penuh kembali kepada penandatangan yang diiktiraf oleh FIFA dan CAF;

3. Mengisytiharkan tidak sah atau mengetepikan sebarang keputusan, sah atau sebaliknya, memberi kuasa kepada jawatankuasa ad hoc untuk melaksanakan sebarang kawalan atau mempunyai sebarang kuasa ke atas FECOFOOT;

4. Memastikan kerjasama penuh untuk membolehkan FECOFOOT menguruskan hal ehwalnya tanpa pengaruh yang tidak wajar daripada pihak ketiga.

Sementara itu, PFF digantung kerana gagal mematuhi syarat untuk melaksanakan perlembagaan baharu yang bertujuan memastikan proses pemilihan lebih adil dan demokratik.

Penggantungan hanya akan ditarik balik tertakluk kepada kelulusan Kongres PFF versi Perlembagaan PFF yang dibentangkan oleh AFC dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, Congo kini menghuni tangga tercorot Kumpulan E dalam pusingan kelayakan CAF, manakala Pakistan berada di kedudukan terakhir Kumpulan G di pusingan kelayakan AFC.