Pelan baharu ‘revolusi ofsaid’ yang dicadangkan oleh Arsene Wenger dijangka semakin hampir menjadi realiti.

Hal ini kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama presidennya, Gianni Infantino sedang bersiap sedia untuk membentangkan cadangan perubahan peraturan itu kepada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Baca Juga:

Wenger sejak sekian lama memperjuangkan perubahan radikal terhadap undang-undang ofsaid dengan mencadangkan bahawa kesalahan ofsaid hanya akan berlaku jika penyerang berada sepenuhnya di hadapan pertahanan terakhir.

Mesyuarat tahunan IFAB dijadualkan berlangsung pada 20 Januari di London dan akan menyaksikan cadangan Wenger diteliti secara menyeluruh.

Menurut sumber laporan Goal, cadangan tersebut juga dijangka dibahaskan pada Perhimpunan Agung di Wales pada Februari.

Memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Wenger mahu melakukan perubahan radikal terhadap undang-undang ofsaid yang akan memberi kelebihan kepada penyerang kerana mereka akan dianggap ‘onside’ selagi mana mana-mana bahagian badan mereka berada sebaris dengan pertahanan terakhir pemain luar (selain daripada penjaga gol).

Beliau telah menggariskan cadangan itu pada tahun 2020, dengan berkata: “Terdapat ruang untuk mengubah peraturan dan tidak mengatakan bahawa sebahagian daripada hidung pemain adalah offside, lalu anda dianggap ofsaid kerana boleh menjaringkan gol dengan bahagian itu.”

“Sebaliknya, anda tidak akan dianggap ofsaid jika mana-mana bahagian badan yang boleh menjaringkan gol berada sebaris dengan pertahanan terakhir walaupun bahagian lain badan penyerang berada di hadapan.”

“Itu akan menyelesaikan isu ini dan anda tidak lagi akan mempunyai keputusan berdasarkan milimeter atau sebahagian kecil badan penyerang yang berada di hadapan garis pertahanan.”

Kenapa Wenger Mahu Ubah Peraturan Ofsaid?

Wenger sebelum ini pernah bercakap tentang rancangan beliau dan mengapa beliau mahu membuat perubahan kepada peraturan ofsaid.

Bekas pengurus Arsenal itu berpendapat bahawa penyerang telah terjejas selepas pengenalan VAR yang tidak disukai oleh penyokong.

Wenger juga menyebut bagaimana perubahan serupa telah dilakukan selepas Piala Dunia 1990 yang menyaksikan purata jaringan gol terendah dalam sejarah kejohanan itu.

“Ia berlaku pada tahun 1990 selepas Piala Dunia di Itali apabila tiada gol dijaringkan.”

“Kami memutuskan bahawa tiada lagi ofsaid apabila anda berada pada garis yang sama dengan pertahanan. Sekiranya timbul keraguan, keraguan itu memberi manfaat kepada penyerang.”

“Itu bermakna apabila ada perbezaan sedikit, penyerang mendapat kelebihan. Dengan VAR, kelebihan ini hilang dan bagi ramai orang, ia mengecewakan.”

“Sebab itulah saya mencadangkan bahawa selagi mana mana bahagian badan anda berada pada garis yang sama dengan pertahanan, anda tidak akan dianggap ofsaid.”

“Kami sedang bereksperimen dengan perkara ini sekarang. Dalam masa setahun, keputusan akan dibuat oleh IFAB, bukan oleh saya.”

 

Sumber