Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima hukuman terbaharu daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang bersidang pada 12 Disember 2025, berhubung kes menurunkan pemain yang tidak layak dalam beberapa perlawanan antarabangsa Tier 1.

Perkembangan terkini itu disahkan FAM dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan badan induk bola sepak negara tersebut sebentar tadi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) selepas menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan Malaysia.

Tiga perlawanan yang terlibat ialah aksi persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berkesudahan seri 1-1, perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-1, serta pertemuan dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Malaysia.

Sehubungan dengan keputusan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan.

Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000, bersamaan kira-kira RM51,414.

Dalam perkembangan sama, FAM memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan penuh daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara berkenaan.