Satu sejarah baharu bakal tercipta dalam dunia bola sepak! Bagi peminat sukan dan muzik, Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 pastinya menjanjikan kelainan yang sangat menarik.
Buat julung kalinya, edisi kali ini akan memperkenalkan persembahan separuh masa ala ‘Super Bowl’ semasa perlawanan akhir berlangsung.
Bagi memeriahkan acara bersejarah ini, FIFA telah menyediakan barisan penghibur bertaraf bintang.
Ramai artis antarabangsa bakal meriahkan
Justin Bieber merupakan antara nama besar yang baru sahaja diumumkan untuk menyertai barisan artis legenda lain seperti Madonna, Shakira, dan kumpulan sensasi K-pop, BTS.
Selain mereka, pentas ini juga akan digegarkan dengan persembahan daripada bintang Afrobeats Burna Boy, konduktor muzik Gustavo Dudamel, dan Kumpulan Koir PS22.

Menariknya, persembahan berdurasi 11 minit ini akan diterbitkan oleh vokalis utama Coldplay, Chris Martin, yang juga akan membuat persembahan bersama kumpulannya.
Penonton dari pelbagai generasi juga pastinya akan terhibur dengan penampilan istimewa watak-watak comel dari Sesame Street dan The Muppets.
Bercakap mengenai penyertaannya dalam acara gilang-gemilang ini, Justin Bieber berkata:
“Piala Dunia FIFA menyatukan dunia dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh acara lain. Saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada Persembahan Separuh Masa ini, dan lebih bersyukur kerana mengetahui ia sudah pun membantu memperluas akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak di seluruh dunia”.
Bintang Nigeria, Burna Boy, yang juga menyanyikan lagu rasmi Piala Dunia “Dai Dai” bersama Shakira, turut meluahkan rasa bangganya:
“Piala Dunia FIFA merupakan salah satu daripada segelintir detik yang benar-benar menyatukan seluruh dunia. Mewakili Afrika pada Persembahan Separuh Masa Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA yang pertama ini adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab yang saya pikul dengan penuh dedikasi”.
Ada misi tersirat
Lebih daripada sekadar hiburan, persembahan separuh masa ini membawa satu misi global yang sangat bermakna.
Ini bertujuan untuk menyokong FIFA Global Citizen Education Fund, sebuah inisiatif murni yang menyasarkan kutipan dana sebanyak $100 juta bagi memperluas akses pendidikan dan bola sepak untuk kanak-kanak di seluruh dunia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan acara penuh epik ini yang dijadualkan berlangsung pada 19 Julai di Stadium New Jersey, dengan persembahan dijangka bermula pada jam 3:00 petang waktu Timur (ET) atau Waktu di Malaysia ialah pada jam 3:00 pagi, 20 Julai.