FIFA mengesahkan tiada sebarang bukti yang menunjukkan bola terkena kabel kamera di atas padang sebelum jaringan penyamaan England ketika menewaskan Norway 2-1 dalam aksi suku akhir Piala Dunia.

Insiden itu berlaku pada penghujung babak pertama apabila sepakan gol yang diambil penjaga gol Norway, Ørjan Nyland, dilihat seolah-olah terkena kabel yang merentangi stadium sebelum bola jatuh semula ke kawasan permainan. Beberapa saat kemudian, Jude Bellingham menjaringkan gol penyamaan buat England.

Mengikut Undang-Undang Permainan, jika bola disahkan terkena objek luar seperti kabel di atas padang, permainan sepatutnya dihentikan dan dimulakan semula menerusi dropped ball.

Bagaimanapun, FIFA menjelaskan sistem Connected Ball tidak mengesan sebarang sentuhan pada kabel tersebut.

“Dalam situasi sebelum gol England pada minit 45+2 menentang Norway, sensor pada Connected Ball tidak merekodkan sebarang perubahan pada ‘degupan jantung bola’ ketika bola berada di udara. Oleh itu, tiada bukti bahawa bola menyentuh kabel di atas padang atau berlaku perubahan pada trajektori bola akibat sentuhan tersebut,” menurut kenyataan FIFA.

Permainan tidak dihentikan ketika insiden berlaku dan tidak dapat dipastikan sama ada pengadil video (VAR), Jerome Brisard, melakukan semakan terhadap situasi berkenaan.

Brisard sebelum ini turut bertugas sebagai VAR dalam perlawanan suku akhir antara Argentina dan Mesir, yang menyaksikan Argentina bangkit menang 3-2, dengan Mesir mengemukakan bantahan terhadap beberapa keputusan pengadilan.

Terdahulu dalam kejohanan ini, teknologi sensor pada Connected Ball pernah digunakan untuk membatalkan jaringan penyamaan Croatia ketika tewas kepada Portugal selepas sistem mengesan bola terlebih dahulu terkena pemain Croatia, sekali gus menyebabkan situasi ofsaid.

Dalam insiden menentang England, Nyland mengambil sepakan gol sebelum trajektori bola dilihat berubah di udara, sekali gus mencetuskan dakwaan bahawa ia mungkin terkena kabel yang digunakan untuk menyokong kamera robotik di atas padang.

England kemudian menguasai bola dan serangan tersebut diakhiri dengan jaringan Jude Bellingham menerusi rembatan rendah yang menewaskan Nyland.

Nyland jelas kecewa dengan insiden itu apabila menepuk permukaan padang sejurus selepas gol tersebut.

Beliau bersama penyerang Norway, Erling Haaland, serta ketua jurulatih Ståle Solbakken turut dilihat berbincang dengan pengadil dari Perancis, Clément Turpin, selepas insiden itu dan ketika pemain menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat.

England menang 2-1 selepas masa ekstra 30 minit. Dan menunggu antara Argentina atau Switzerland di separuh akhir.