FIFA menuduh UEFA melakukan gangguan berunsur kekerasan terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, serta cuba mempengaruhi pemilihan presiden badan induk bola sepak dunia itu dengan menyebarkan maklumat yang didakwa mengelirukan.

Dakwaan tersebut terkandung dalam dokumen mahkamah yang difailkan FIFA di Miami.

FIFA cuba menghalang permohonan UEFA untuk mendapatkan semua dokumen serta bukti berkaitan cadangan kontroversi FIFA Forward Enterprise (FFE).

FFE sebelum ini mencetuskan krisis besar selepas FIFA mencadangkan penjualan kepentingan dalam hak komersial pertandingan, termasuk Piala Dunia, kepada pelabur swasta. Cadangan bernilai sekitar AS$20 bilion itu akhirnya ditarik balik pada Julai selepas mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

UEFA pula sedang mendapatkan dokumen berkaitan rancangan tersebut melalui mahkamah Amerika Syarikat.

Badan bola sepak Eropah itu sebelum ini mendakwa wujud kemungkinan salah urus jenayah dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Infantino serta pegawai FIFA lain di Switzerland.

UEFA mendakwa rancangan FFE dibangunkan secara tertutup, tanpa proses rundingan sewajarnya, selain mempertikaikan penilaian terhadap aset komersial FIFA.

Oleh sebab itu jika FFE diteruskan, UEFA sedia memboikot kesemua pertandingan di bawah FIFA.

Namun, FIFA menafikan dakwaan tersebut mengasari FIFA.

FIFA turut menegaskan UEFA tidak mempunyai asas untuk mendakwa Infantino cuba mendapatkan keuntungan peribadi menerusi cadangan FFE.

Lebih panas, FIFA mengaitkan tindakan UEFA dengan pemilihan Presiden FIFA yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2027.

“Just before FIFA’s election, UEFA filed this application … spreading misinformation regarding Mr Infantino,” menurut pemfailan tersebut.

FIFA meminta mahkamah menolak usaha UEFA mendapatkan bukti berkenaan, sambil mendakwa tindakan berkenaan bertujuan mempengaruhi pemilihan presiden.

UEFA sebelum ini telah menarik balik sokongannya terhadap Infantino, namun setakat ini belum mengemukakan calon pencabar rasmi sebelum tarikh akhir pencalonan pada November.

Krisis FFE kini menjadi antara pertikaian terbesar dalam bola sepak dunia, dengan UEFA dan beberapa badan bola sepak lain turut mendesak perubahan terhadap tadbir urus FIFA.