Syarikat U Mobile bakal bertukar tangan selepas Mawar Setia, sebuah syarikat persendirian tempatan, memeterai perjanjian untuk memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat tersebut.
Menurut laporan The Edge, perjanjian ini diumumkan oleh Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia), pemilik U Mobile melalui anak syarikatnya, Straits Mobile Investments.

Namun, butiran kewangan penuh tidak didedahkan.
Langkah ini telah mencetuskan tanda tanya, terutama kerana Mawar Setia tidak begitu dikenali dalam arena telekomunikasi.
Dalam kenyataan rasmi, Mawar Setia hanya disebut sebagai syarikat persendirian di Malaysia, tanpa maklumat lanjut.
Apakah strategi mereka dalam mengendalikan U Mobile? Dan adakah ia akan membawa perubahan besar dalam landskap telekomunikasi tempatan?
U Mobile, yang ditubuhkan pada 2006, dikenali sebagai syarikat telekomunikasi termuda di Malaysia dengan rangkaian untuk 5G.
Selepas transaksi pegangan majoriti ini selesai, U Mobile tidak lagi menjadi anak syarikat ST Telemedia, sebuah syarikat milik penuh pelabur negara Singapura, Temasek.
Namun, Straits Mobile akan mengekalkan pegangan sebanyak 20% dalam syarikat tersebut.
Dengan spekulasi awal tahun ini bahawa U Mobile merancang tawaran awam awal (IPO) bernilai lebih dari USD 500 juta seawal separuh pertama tahun 2025, ramai tertanya-tanya bagaimana langkah penjualan ini akan memberi kesan kepada rancangan IPO tersebut.
Adakah ini strategi untuk menjadikan U Mobile lebih “lokal” sebelum disenaraikan, atau ada sebab lain di sebalik langkah ini?
Industri telekomunikasi Malaysia kini memerhatikan pergerakan seterusnya dari kedua-dua pihak.
Penjualan ini juga berlaku di tengah-tengah persaingan sengit untuk memperluaskan teknologi 5G di Malaysia, di mana U Mobile dilihat sebagai salah satu pemain utama.