Fantasy Premier League (FPL) telah kembali untuk musim baharu 2025/26 dan kini menampilkan beberapa ciri baharu yang telah dikemas kini.

Selain daripada perubahan harga dan kemasukan ramai pemain baharu ke dalam English Premier League (EPL), turut diumumkan adalah cara-cara baharu untuk mengutip mata serta cip tambahan yang boleh digunakan pada pasukan anda sepanjang musim.

Baca Juga:

Cip ‘Assistant Manager’ yang diperkenalkan pertama kali pada musim lalu tidak dikekalkan untuk musim baharu ini.

Berikut merupakan antara perubahan yang dapat disaksikan dalam FPL 2025/26:

Penggunaan Cip FPL

Dengan ketiadaan cip Assistant Manager ini bermakna FPL 2025/26 menawarkan ‘Bench Boost’, ‘ Free Hit’, ‘ Triple Captain’ dan Wilcard.

Perubahan ketara yang dapat disaksikan ialah setiap pemain (pengurus fantasi) dibenarkan untuk menggunakan kesemua cip tersebut sebanyak dua kali.

Para pemain kini dibenarkan menggunakan setiap cip sekali pada separuh pertama musim (Minggu Perlawanan 1-19) dan sekali lagi pada separuh kedua (Minggu Perlawanan 20-38).

Bench Boost ialah cip di mana mata kesemua empat pemain simpanan akan dikira sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan mata untuk minggu perlawanan tersebut.

Free Hit membolehkan pemain menukar seberapa ramai pemain yang diingini buat sementara waktu dalam satu minggu perlawanan, tetapi pasukan akan kembali kepada susunan asal pada minggu berikutnya.

Triple Captain ialah cip di mana mata kapten pasukan akan digandakan tiga kali (bukannya dua kali seperti biasa) untuk satu minggu perlawanan sahaja.

Wildcard membenarkan pemain membuat pertukaran pemain secara kekal dan tanpa had dalam satu minggu perlawanan.

Mata Pemain Pertahanan

Pemain outfield (selain daripada penjaga gol) kini akan menerima mata bonus berdasarkan jumlah aksi bertahan yang mereka lakukan dalam satu perlawanan.

Bagi pertahanan, tindakan seperti buangan bola (clearance), hadangan (block), pintasan (interception),dan terjahan (tackle) akan dikira sebagai penglibatan defensif.

Untuk pemain tengah dan penyerang, buangan bola, hadangan, pintasan, terjahan, dan pemulihan bola (ball recovery) diklasifikasikan sebagai aksi defensif.

Setiap 10 aksi defensif yang dilakukan oleh pemain pertahanan dalam satu perlawanan akan memberikan dua mata bonus.

Bagi pemain tengah dan penyerang, dua mata akan diberikan bagi setiap 12 aksi yang dilakukan.

Sekiranya sistem ini telah digunakan pada musim 2024-25, James Tarkowski dari Everton akan menjadi pemain dengan kutipan mata tertinggi untuk penglibatan defensif dengan 44 mata bonus, empat lebih banyak daripada mana-mana pemain lain.

Pemain tengah Chelsea, Moises Caicedo pula akan menjadi pemain tengah paling cemerlang dalam metrik ini dengan 42 mata bonus, enam lebih banyak daripada pemain lain.

Mata Bonus (BPS) dan Bantuan Jaringan

Terdapat beberapa perubahan penting dalam cara mata bonus dan bantuan jaringan (assist) diberikan dalam FPL 2025/26.

Bonus mata masih diberikan kepada tiga pemain terbaik dalam setiap perlawanan, berdasarkan Sistem Mata Bonus (Bonus Points System – BPS) yang menggunakan statistik daripada Opta. Namun begitu, beberapa perubahan telah dibuat pada cara pengiraan BPS.

1) Penjaga Gol dan Sepakan Penalti

Penjaga gol sebelum ini menerima dua mata BPS untuk setiap tangkapan. Kini, jika tangkapan dibuat terhadap rembatan dari dalam kotak penalti, ia akan bernilai tiga mata BPS.

Manakala tangkapan rembatan dari luar kotak kekal dengan dua mata. Penalti yang diselamatkan pula kini bernilai lapan mata BPS, berbanding sembilan sebelum ini.

Namun, perubahan ini diseimbangkan dengan peningkatan mata bagi tangkapan rembatan dari dalam kotak penalti.

Semua penalti yang dijaringkan kini memberikan 12 mata BPS, tanpa mengira posisi pemain. Sebelum ini, penalti yang dijaringkan bernilai 18 mata bagi pemain tengah dan 24 mata bagi penyerang.

2) Tindakan Menyelamat

Tindakan menyelamatkan bola di atas garisan gol (goalline clearance) juga kini diberi ganjaran yang lebih tinggi, meningkat daripada tiga kepada sembilan mata BPS.

3) Tackle (Terjahan)

Bagi terjahan pula, semua terjahan yang berjaya kini bernilai dua mata BPS. Sebelum ini, dua mata hanya diberikan berdasarkan kiraan bersih (jumlah terjahan berjaya tolak jumlah terjahan tidak berjaya).

4) Bantuan Jaringan 

Selain itu, definisi bantuan jaringan (assist) dalam FPL juga telah dilonggarkan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain menerima mata.

Sekiranya sesuatu hantaran terkena satu sentuhan daripada pemain pertahanan lawan dan bola sampai kepada penjaring di dalam kotak penalti, assist akan tetap diberikan walaupun hantaran itu tidak sampai kepada sasaran asalnya.

Pemain juga akan menerima assist sekiranya hantaran mereka menyebabkan pemain pertahanan lawan melakukan kesilapan tanpa paksaan yang membawa kepada jaringan, selagi kesilapan itu bukan disebabkan hantaran tersilap. Syarat satu sentuhan dari pemain pertahanan masih terpakai.

Tambahan lagi, pemain yang memenangi sepakan penalti atau sepakan percuma yang menghasilkan jaringan melalui handball kini juga akan diberikan mata assist, tidak kira sama ada handball itu berlaku secara sengaja atau tidak.

Perubahan ini dijangka memberi kesan besar kepada cara pemain memilih strategi dan memaksimumkan mata dalam setiap minggu permainan.

Kelonggaran Hadapi AFCON 2025

Piala Negara-Negara Afrika (Africa Cup of Nations) 2025 akan berlangsung semasa musim EPL berlangsung.

Bagi membantu pengurus menangani kemungkinan kehilangan beberapa pemain mereka yang terlibat dalam kejohanan tersebut, semua pengurus akan menerima lima pertukaran percuma untuk Minggu Perlawanan ke-16.

Ia tanpa mengira berapa banyak pertukaran percuma yang masih ada pada minggu sebelumnya. AFCON akan berlangsung dari Minggu Perlawanan 16 hingga Minggu Perlawanan 22.