Fantasy Premier League (FPL) telah mengumumkan senarai pemain yang akan mengalami pertukaran posisi menjelang musim baharu.
Pelancaran FPL bagi musim 2026/27 itu juga memperlihatkan beberapa ciri baharu dan penambahbaikan diumumkan.
Antara perubahan terbesar ialah pengurus FPL kini boleh melihat secara langsung jumlah mata penampilan, jaringan gol, bantuan gol (assist) dan bantuan jaringan (clean sheet) yang dikumpulkan oleh pemain dalam skuad mereka.
Ciri baharu itu membolehkan pengguna memantau secara masa nyata sama ada sesuatu gol memberi manfaat atau sebaliknya kepada pasukan FPL mereka.
Lebih menarik, para pengurus FPL juga kini boleh melihat kedudukan mereka dalam liga mini serta ranking keseluruhan berubah secara masa nyata sekali gus meningkatkan pengalaman penggunaan aplikasi.
Penambahan ciri ranking secara langsung itu turut disertakan dengan beberapa perubahan pada Sistem Mata Bonus (Bonus Points System, BPS). Antara perubahan utama ialah pemain tidak lagi akan dikenakan penalti mata bonus apabila mereka dikasari atau berjaya diasak (tackled) oleh pihak lawan.
Pada musim-musim sebelum ini, pemain akan dikenakan pengurangan -1 mata BPS setiap kali mereka kehilangan penguasaan bola (dispossessed). Namun, perkara itu tidak lagi akan berlaku pada musim baharu.
Perubahan tersebut dijangka memberi kelebihan kepada pemain-pemain yang terkenal dengan kemahiran menggelecek dalam Liga Perdana Inggeris, khususnya seperti Jeremy Doku dan Morgan Rogers yang bakal menjadi antara pemain paling mendapat manfaat daripada pelarasan baharu itu.
Sebaliknya, FPL turut melakukan sedikit perubahan terhadap sistem mata DEFCON susulan maklum balas daripada peminat, sekali gus menjadikan pemain yang sering mengumpul mata DEFCON lebih sukar untuk meraih mata bonus.
Kini, seorang pemain hanya akan memperoleh 1 mata BPS bagi setiap tiga aksi CBI (clearances, blocks, interceptions), berbanding sebelum ini yang memberikan 1 mata BPS bagi setiap dua CBI.
Menjelang musim Liga Perdana Inggeris bermula pada 21 Ogos, apabila Arsenal berdepan Coventry City di Stadium Emirates, FPL turut mengumumkan beberapa perubahan posisi pemain untuk musim baharu.
Junior Kroupi, Patrick Dorgu dan Omar Marmoush antara nama besar yang terlibat dalam perubahan posisi dengan keseluruhan 11 pemain diberikan klasifikasi posisi baharu dalam Fantasy musim ini.
Kroupi kini diklasifikasikan sebagai pemain nombor 10 dan bukan lagi penyerang selepas lebih banyak beraksi di belakang Evanilson ketika Bournemouth mencipta kempen bersejarah musim lalu.
Sementara itu, Dorgu ditukar daripada posisi pertahanan kepada pemain tengah selepas memainkan peranan lebih menyerang di bawah kendalian Michael Carrick pada musim 2025/26.
Posisi Marmoush pula berubah daripada pemain tengah kepada penyerang selepas sering digunakan sebagai penyerang tengah oleh Pep Guardiola dalam musim terakhirnya sebagai pengendali. Dia dijangka terus diberikan minit permainan secara berperingkat di belakang Erling Haaland.
Perubahan posisi pemain FPL 2026/27
1) Myles Lewis-Skelly – Arsenal – Daripada MID (Pemain Tengah) ke DEF (Pertahanan)
2) Lamare Bogarde – Aston Villa – Daripada MID (Pemain Tengah) ke DEF (Pertahanan)
3) Junior Kroupi – Bournemouth – Daripada FWD (Penyerang) ke MID (Pemain Tengah)
4) Keane Lewis-Potter – Brentford – Daripada MID (Pemain Tengah) ke DEF (Pertahanan)
5) Mats Wieffer – Brighton – Daripada DEF (Pertahanan) ke MID (Pemain Tengah)
6) Georginio Rutter – Brighton- Daripada FWD (Penyerang) ke MID (Pemain Tengah)
7) Rio Cardines – Crystal Palace – Daripada DEF (Pertahanan) ke MID (Pemain Tengah)
8) Ryan Sessegnon – Fulham – Daripada DEF (Pertahanan) ke MID (Pemain Tengah)
9) Omar Marmoush – Manchester City – Daripada FWD (Penyerang) ke MID (Pemain Tengah)
10) Patrick Dorgu – Manchester United – Daripada MID (Pemain Tengah) ke DEF (Pertahanan)
11) Eric Moreira – Nottingham Forest – Daripada DEF (Pertahanan) ke MID (Pemain Tengah)