Bagi kebanyakan pengurus Fantasy Premier League (FPL), melihat Erling Haaland beraksi di laman sendiri menentang pasukan yang dianggap lebih lemah, Ipswich Town pasti menimbulkan satu godaan besar iaitu mengaktifkan cip ‘Triple Captain’.

Dengan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbisa dalam dunia bola sepak, Haaland sememangnya calon utama untuk menyumbang mata besar dalam FPL.

Namun, sebelum anda menekan butang Triple Captain, mungkin ada baiknya anda berfikir dua kali.

Ini bukan bermaksud Haaland tidak sesuai dijadikan kapten. Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada minggu ini benar-benar masa terbaik untuk menggunakan cip paling berharga dalam simpanan anda.

Berikut tiga sebab mengapa pengurus FPL wajar mempertimbangkan untuk menyimpan Triple Captain buat sementara waktu.

Triple Captain Erling Haaland?

Risiko Minit Permainan Yang Tidak Boleh Dipandang Ringan

Haaland mungkin menjadi pilihan utama Manchester City di bahagian serangan, tetapi statusnya sebagai pemain penting tidak menjamin beliau akan beraksi selama 90 minit dalam setiap perlawanan.

Jadual perlawanan yang padat, persaingan dalam pelbagai kejohanan dan keperluan mengurus kecergasan pemain boleh mempengaruhi keputusan penggiliran skuad.

Hakikat itu diakui sendiri pengendali Manchester City, Enzo Maresca yang mengulas tentang kemungkinan untuk memberikan lebih waktu rehat buat pemainnya.

“Pada satu ketika nanti, kita mungkin perlu memberikannya rehat, beberapa hari cuti,” jelas Maresca dalam sidang media pra-perlawanan.

“Kami memikirkan perkara ini bukan sahaja melibatkan Erling, kerana kami mempunyai pemain-pemain yang sama ada baik atau buruk, bermain dalam semua perlawanan untuk kami serta semua perlawanan untuk pasukan kebangsaan masing-masing.”

“Elliot [Anderson], Enzo [Fernandez], Marc [Guehi], Erling [Haaland], Ruben [Dias], jadi pada satu tahap nanti, kami mungkin perlu memberikan mereka sedikit rehat.”

Tambahan pula pada pertengahan minggu hadapan, Manchester City akan berdepan AEK Athens di laman sendiri dalam kempen UEFA Champions League (UCL) dimana mereka amat memerlukan kemenangan susulan kekalahan pada aksi kedua bertemu Paris Saint-Germain (PSG).

Bayangkan ketika bertemu Ipswich, Manchester City sudah mendahului dengan selesa dan Haaland dikeluarkan pada minit ke-60 hanya selepas menjaringkan satu gol sahaja.

Beliau mungkin sudah menyumbang gol tetapi peluang untuk menambah jaringan, mencipta bantuan gol atau mengumpul mata tambahan turut terhenti. Situasi itu lebih mengecewakan jika anda sudah mengaktifkan Triple Captain.

Sudah tentu, Haaland masih berpotensi menghasilkan pulangan besar walaupun bermain kurang daripada 90 minit. Namun, apabila menggunakan cip ini, pengurus FPL perlu mempertimbangkan bukan sahaja kemampuan pemain, tetapi juga peluangnya untuk berada di atas padang selama mungkin.

Jangan Terburu-buru Dan Terlalu Yakin Hanya Kerana Satu Perlawanan Nampak Mudah

Inilah antara kesilapan yang boleh berlaku apabila pengurus terlalu yakin dengan satu pilihan pemain.

Apabila Haaland berdepan lawan yang dianggap mudah, kita mudah membayangkan kutipan mata besar sehingga terlupa bahawa bola sepak tidak mengikut skrip yang kita rasakan bakal berlaku.

Lawan yang kelihatan lemah masih boleh memberikan tentangan sengit. Haaland juga boleh berdepan kesukaran mencari ruang, mensia-siakan peluang atau sekadar menghasilkan persembahan sederhana.

Telah dibuktikan pada aksi bertemu Coventry City pada 5 September lalu, walaupun skuad kendalian Frank Lampard itu dilihat sebagai pasukan belasahan, Manchester City hanya mampu menjaringkan satu gol pada aksi yang berlangsung di Etihad Stadium.

Malah aksi bertemu Bournemouth yang kini berada di kedudukan ke-18 pula menyaksikan The Cityzens menang 2-1 tetapi Haaland gagal menemui sentuhan jaringan.

Ingat Strategi ‘Use-It-or-Lose-It’ (Cip Luput GW19)

Mengikut peraturan baharu FPL sejak musim lalu, setiap pengurus diberikan dua set cip Triple Captain. Set yang pertama ini wajib digunakan sebelum tarikh akhir Gameweek 19 (1 Januari 2027) atau ia akan ‘burn’ begitu sahaja.

Memandangkan tiada Double Gameweek dijadualkan dalam separuh masa pertama musim ini, anda memang terpaksa menggunakan cip ini pada minggu perlawanan biasa (Single Gameweek).

Namun, kunci utama di sini ialah kesediaan fizikal pemain. Mengapa perlu ambil risiko mengaktifkan cip ini sekarang ketika Haaland sedang berada di fasa paling padat dengan jadual UCL?

Adalah lebih bijak untuk menyimpan cip ini dan menyasarkan perlawanan di bulan Disember nanti contohnya ketika City melayan kunjungan Hull City pada Gameweek 16, di mana fasa kumpulan UCL sudah tamat dan risiko Haaland dikeluarkan awal adalah jauh lebih rendah.

Kesimpulan: Kapten Haaland, Ya. Triple Captain? Fikir Dahulu!

Jika Haaland berada dalam skuad anda, menjadikannya kapten biasa mungkin langkah yang tepat berdasarkan prestasi dan perlawanan minggu ini.

Namun, jangan biarkan keterujaan melihat peluang jaringan yang terbuka membuatkan anda terburu-buru menggunakan Triple Captain.

Cip tersebut memang direka untuk membantu pengurus mendapatkan pulangan lebih besar, tetapi kejayaannya tetap bergantung pada prestasi pemain dan keadaan perlawanan.

Tiada siapa boleh menjamin Haaland akan meledak hatrik, beraksi selama 90 minit atau menghasilkan kutipan mata luar biasa hanya kerana dia menjadi pilihan utama.

Jadi, sebelum mengaktifkan cip itu, fikirkan sama ada minggu ini benar-benar menawarkan peluang terbaik berdasarkan maklumat yang ada.

Haaland mungkin pilihan kapten terbaik anda minggu ini. Tetapi jangan keliru antara memilih kapten yang tepat dengan memilih masa yang tepat untuk menggunakan Triple Captain.

Namun, ia sekadar cadangan daripada penulis, segalanya terletak kepada anda sendiri. Selamat maju jaya!