Legenda Perancis, Frank Leboeuf telah memberikan kritikan keras terhadap kredibiliti kepimpinan Kylian Mbappe ketika Les Bleus bersiap menghadapi Piala Dunia 2026.
Pemenang Piala Dunia 1998 itu tanpa berselindung berpendapat bahawa bintang Real Madrid tersebut ‘terlalu mementingkan diri sendiri’ untuk mengetuai pasukan kebangsaan meraih kejayaan di Amerika Utara pada musim panas ini.
Leboeuf Kritik Mbappe
Mbappe mungkin merupakan wajah utama bola sepak Perancis yang tidak dipertikaikan, namun Leboeuf masih tidak yakin dengan keupayaan penyerang itu untuk memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya.
Bekas pertahanan Chelsea dan Perancis yang memenangi Piala Dunia di Paris itu percaya bahawa sikap permainan Mbappe yang terlalu berorientasikan individu menghalangnya daripada menjadi seorang ketua semula jadi untuk pasukan kendalian Didier Deschamps.
“Tidak, Kylian Mbappe bukan seorang pemimpin bagi saya kerana dia terlalu mementingkan diri dalam pemikiran dan cara dia berfikir,” kata Leboeuf menurut sumber laporan Goal.
“Saya tidak mengenalinya. Saya hanya pernah berjumpa dia sekali ketika dia bersama pasukan kebangsaan dan ketika itu dia bermain untuk Paris Saint-Germain selepas baru sahaja menandatangani kontrak dengan kelab itu.”
“Dia seorang yang baik, berpendidikan, tetapi cara dia berfikir tentang bola sepak tidak selari dengan nilai permainan saya.”
Walaupun Mbappe kini memegang lilitan kapten, Leboeuf mencadangkan bahawa beberapa pemain lain dalam skuad Perancis memiliki sifat berkorban diri yang lebih sesuai untuk peranan tersebut.
Bekas pemain berusia 58 tahun itu menamakan William Saliba dari Arsenal dan pemain tengah veteran N’Golo Kante sebagai contoh pemain yang secara semula jadi mengutamakan keperluan pasukan berbanding kejayaan individu.
“Itulah sebabnya saya suka pemain seperti William Saliba dan N’Golo Kante, pemain yang bersedia berkorban untuk pasukan.”
“Bagi saya, itulah perbezaannya, dan itu yang paling penting. Antoine Griezmann juga merupakan seorang pemimpin sebenar dari segi cara dia bermain dan cara dia berfikir tentang bola sepak.”
“Saya juga suka komen Ousmane Dembele yang berkata jika saya tidak membantu bertahan, jurulatih tidak akan meletakkan saya dalam pasukan dan itulah realiti bola sepak.”
“Mbappe seorang superstar, tetapi dia bukan rakan sepasukan yang terbaik, itu masalah saya,” tambah beliau lagi.