Kylian Mbappe tanpa berselindung mengkritik rakan sepasukannya di Real Madrid tidak mempunyai ‘keinginan’ sebagai pasukan juara.

Kritikan itu dilemparkan selepas Los Blancos langsung tidak menampilkan imej sebagai sebuah pasukan juara ketika mengalami kekalahan 2-4 di tangan Benfica dalam aksi UEFA Champions League (UCL) 2025/26 tempoh hari.

Kekalahan yang bukan sahaja melayakkan Benfica beraksi di Play-Off, malah Real Madrid juga terpaksa mengharungi pusingan tersebut selepas hanya menamatkan saingan liga di kedudukan kesembilan.

Pada perlawanan tersebut, Mbappe berjaya menjaringkan dua gol tetapi ia masih belum cukup untuk memastikan kemenangan memihak Real Madrid.

Keadaan itu membuatkan peledak berbisa tersebut berang dengan apa yang ditampilkan rakan sepasukannya.

Mbappe Berang

“Ia bukan soal kualiti, dan ia juga bukan soal taktikal. Ia soal mempunyai keinginan yang lebih tinggi berbanding lawan,” ujar Mbappe menurut sumber laporan Goal.

“Kamu dapat lihat betapa segalanya dipertaruhkan buat Benfica, tetapi perkara itu tidak kelihatan pada kami dan itu satu masalah.”

“Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan ada kepentingan masing-masing. Kami untuk berada dalam kelompok lapan teratas dan Benfica untuk berada dalam kelompok 24. Kami nampak keinginan itu daripada Benfica, tetapi tidak daripada kami.”

“Saya tidak mempunyai penjelasan yang jelas. Persembahan kami (di Benfica) tidak sama seperti ketika menentang Villarreal dan itu satu masalah.”

“Kami tidak konsisten dalam permainan. Kami perlu menyelesaikannya. Kami tidak boleh bermain baik satu hari, kemudian gagal pada hari yang lain. Pasukan juara tidak berbuat demikian.”

“Kami masih ada dua lagi perlawanan dan itu sedikit menyakitkan. Kami mahu mempunyai masa pada Februari untuk memperbaiki permainan, tetapi sebaliknya kami terpaksa beraksi dalam pusingan play-off,” tambah beliau lagi.

Sumber