Platform penstriman tempatan, Tonton, melakar sejarah baharu dalam arena sukan digital apabila dipilih sebagai penyiar rasmi kejohanan sukan tempur, Fury Championship Vol. II.
Kerjasama ini merupakan julung kalinya diadakan secara Pay-Per-View (PPV), sekali gus menandakan langkah berani platform tersebut dalam memperluaskan penawaran kandungan sukan premium kepada penonton.
Pengurus Besar Tonton, Fikri Rizal Mahruddin, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu lonjakan besar untuk industri sukan digital tempatan.
Beliau berharap usaha ini dapat membuka ruang kepada lebih banyak organisasi sukan pada masa hadapan untuk memanfaatkan keupayaan Tonton dalam mendekati audiens yang lebih luas di seluruh negara.
Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif AR Fury Holdings, Wafiy Ilhan Johan.
Menurut beliau, pengenalan konsep PPV ini adalah langkah strategik yang mampu membuka dimensi baharu buat industri sukan tempur tanah air, di samping memberi nilai tambah kepada ekosistem sukan tempatan.
Kejohanan yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung di Karisma Arena, Seremban pada 25 Julai ini. Peminat bakal disajikan dengan 13 pertarungan sengit yang melibatkan barisan atlet tempatan dan antarabangsa.
Antara perlawanan yang dijangka mencuri tumpuan utama ialah pertembungan sengit antara wakil Malaysia, Izzat Zaki, menentang pencabar hebat dari Indonesia, Brian Lawitan.
Menariknya, kehangatan acara ini sudah mula dirasai apabila tiket fizikal bagi kategori Super Early Bird dilaporkan habis terjual dalam tempoh kurang daripada 10 minit selepas jualan dibuka.
Bagi peminat yang tidak berpeluang ke arena, langganan PPV di Tonton bukan sahaja menawarkan siaran langsung perlawanan, malah memberi akses eksklusif untuk mengikuti kisah di sebalik tabir persediaan setiap atlet.
Akses Early Bird PPV kini boleh didapati di platform Tonton pada harga promosi RM11.90 untuk tempoh yang terhad.
Peminat yang ingin menyaksikan debaran pertarungan ini secara digital boleh menonton siaran langsung menerusi Fury Live TV di Tonton, manakala maklumat lanjut mengenai kolaborasi ini boleh didapati di laman mikro Fury x Tonton atau melalui pembelian tiket fizikal di portal Wowtix.