Teka-teki mengenai empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi, Thailand sudah pun terjawab.
Malaysia yang dibimbing Rakphol Sainetngam turut melangkah ke pusingan empat terbaik itu meskipun tewas kepada Indonesia 0-1 pada aksi kedua kumpulan B, petang tadi.
Malaysia mara selaku naib juara kumpulan berbekalkan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Myanmar yang turut mengumpul satu mata.
Manakala, Indonesia pula unggul dengan enam mata untuk muncul selaku juara kumpulan B.
Kumpulan A pula seperti dijangka apabila dua pasukan pilihan iaitu Thailand dan Vietnam turut mengesahkan kemaraan.
Kemenangan Thailand ke atas Vietnam 2-1 pada aksi kedua sebentar tadi membolehkan skuad kendalian Bunlert Charoenwong itu muncul juara kumpulan A.
Jadual Separuh Akhir Futsal B-19 ASEAN 2025
Dengan berakhirnya aksi peringkat kumpulan, Thailand bakal beraksi menentang Malaysia manakala Indonesia pula menghadapi cabaran Vietnam di separuh akhir nanti.
Aksi separuh akhir bakal berlangsung pada Sabtu, 27 Disember manakala aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung Isnin, 29 Disember 2025.