Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Myanmar 3-3 pada aksi pembukaan Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 yang berlangsung di Stadium Nonthaburi, Thailand sebentar tadi.
Skuad muda negara yang bermula agak gugup pada separuh masa pertama tersentak dengan tiga jaringan berjaya dihasilkan Myanmar.
Myanmar membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Kyaw Min Khant tetapi kelebihan itu dipadamkan Iqbal Hazim Radzi berselang seminit kemudian.
Memasuki minit ke-10, Hae Mar Htay melakukan percubaan jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol negara, Mohammad Ammar Harith Mohammad.
Ammar Harith sekali lagi hampa apabila rembatan dari luar kawasan D oleh Kaung Htet Naing terus menerjah ke gawangnya pada minit ke-18.
Skuad Futsal B-19 Malaysia Kembali Bangkit
Namun kebangkitan anak buah Rakphol Sainetngam itu jelas terserlah selepas rehat apabila mereka meningkatkan intensiti permainan serta memperkemaskan organisasi bertahan.
Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-30 selepas ketua pasukan, Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi merapatkan defisit jaringan.
Tiga minit kemudian, giliran Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam pula menceriakan kem negara setelah percubaan kaki kirinya menjadikan kedudukan 3-3.
Skuad negara meningkatkan tekanan dalam usaha memburu jaringan kemenangan tetapi ia masih belum cukup untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Keputusan seri ini bukanlah satu malapetaka buat skuad negara kerana pada peringkat umur bawah 19 tahun, perkembangan futsal di Myanmar mempunyai liga yang lebih kompetetif berbanding Malaysia.
Perlawanan kedua menyaksikan Malaysia akan menentang Indonesia pada Khamis (25 Disember 2025).