Buat pertama kali dalam sejarah Asia dan Asia Tenggara, Kejohanan Futsal Bawah 16 dan 19 Tahun ASEAN yang penuh sistematik bakal dilancarkan dimana Thailand menjadi pembuka jalan dalam merealisasikan kewujudan pertandingan-pertandingan tersebut.
Empat kejohanan peringkat umur melibatkan lelaki dan wanita itu akan dipertandingkan setiap tahun bermula 2025 hingga 2028.
Baca Juga:
- Kenali Adisak Benjasiriwan, ‘Bapa Kemajuan Futsal Thailand’

- Jenama Thailand Lebarkan Dominasi Futsal: IMANE Kini Penaja Kelab Juara Liga Sepanyol

- Khairul Effendy ‘Ayon’: Kapten, Mentor Dan Simbol Jiwa Futsal Malaysia

Kejohanan ini merupakan cetusan idea daripada Naib Presiden merangkap Pengerusi Pembangunan Futsal & Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Adisak Benjasiriwan.

Cadangan menarik diutarakan oleh Adisak itu telah dipersetujui Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Adisak memang cukup terkenal dengan gelaran ‘Bapa Kemajuan Futsal Thailand’ bersandarkan kepada dedikasi hebatnya dalam meningkatkan kualiti futsal di sana sejak 1998.
Menurut sumber laporan Futsal Thailand, empat kejohanan tersebut akan diadakan secara berselang-seli dimana ia akan dimulakan dengan Kejohanan Futsal Bawah 16 dan 19 Tahun Lelaki ASEAN pada 2025.
Edisi 2026 menyaksikan kategori wanita dan 2027 kembali kepada kejohanan lelaki dan 2028 kategori wanita. Lebih tepat lagi kejohanan ini akan berlangsung dua tahun sekali.
Ini adalah langkah besar kerana sejak futsal diperkenalkan dalam kalendar rasmi AFF pada tahun 2001, belum pernah ada kejohanan yang menjurus khusus kepada kategori umur bawah 16 tahun apatah lagi melibatkan lelaki dan wanita secara berselang tahun.
Ini bermakna setiap kategori akan mendapat ruang pembangunan yang tersusun dan konsisten dengan objektif jangka panjang untuk melahirkan pemain berkualiti yang boleh melangkah ke peringkat universiti dan profesional.

Sebelum ini, satu-satunya kejohanan besar futsal remaja peringkat Asia ialah AFC B-20 Futsal, yang hanya sempat dianjurkan dua kali pada tahun 2017 (Thailand) dan 2019 (Iran).
Malangnya, sejak pandemik COVID-19 melanda pada 2020, tiada sebarang kesinambungan daripada pihak AFC.
Kejohanan B-16 & B-19 ASEAN Datang, Futsal Malaysia Perlu Lebih Aktif
Langkah ini bukan sekadar berita baik buat peminat futsal tetapi berita besar untuk pembangunan belia, jurulatih, pencari bakat dan semua yang berada dalam ekosistem futsal Asia Tenggara terutamanya Malaysia.
Dengan sistem kejohanan berstruktur hingga 2028, Adisak dan AFF kini sedang membina rantaian pembangunan pemain elit di ASEAN yang tidak lagi bergantung kepada nasib atau kebetulan.
Sebaliknya, mereka akan lahir dari sistem, pertandingan dan dari pentas yang sah serta lebih kompetitif.
Sehubungan dengan itu, pihak terbabit di Malaysia perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam mencari dana serta memberikan tumpuan khusus dalam pembangunan liga tempatan bagi peringkat umur bawah 16 dan 19 tahun.

Tahun ini menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mula memperkenalkan pertandingan bawah 19 tahun yang dijadualkan bermula pada 17 Oktober nanti.
Ia perkembangan yang baik tetapi masih memerlukan kerjasama erat antara FAM, pihak kementerian serta entiti swasta dalam pelbagai aspek.
Kerana dalam dunia sukan moden, kejayaan tidak lagi datang daripada bakat semata. Ia lahir daripada sistem dan Futsal Malaysia perlu sedar, masa untuk kita bertindak ialah sekarang.