Bola sepak sentiasa mempunyai cerita yang luar biasa dan kadangkala sukar untuk dipercayai.

Salah satunya, kisah di sebalik sekeping gambar Lionel Messi memandikan bayi Lamine Yamal mungkin antara yang paling luar biasa pernah berlaku.

Foto itu dirakam pada tahun 2007 ketika Messi baru berusia 20 tahun dan sedang meningkat sebagai bintang muda Barcelona.

Ketika itu, Barcelona bekerjasama dengan UNICEF serta akhbar Diari SPORT untuk menghasilkan kalendar amal bagi mengumpul dana kebajikan.

Melalui satu cabutan rawak, keluarga Lamine Yamal dipilih untuk bergambar bersama Messi. Dalam sesi tersebut, Messi diminta membantu memandikan seorang bayi berusia sekitar enam bulan di dalam tab mandi kecil.

Bayi itu ialah Lamine Yamal.

Acara pada hari itu, hanyalah biasa. Lamine Yamal hanyalah bayi kecil yang dimandikan Lionel Messi.

Kemudian gambar itu tidak ramai yang pedulikannya. Tidak ada cerita lagi tentangnya. Dan ramai yang tidak tahu langsung.

Tiada siapa ketika itu mampu membayangkan bahawa bayi tersebut suatu hari nanti akan menjadi antara pemain paling berbakat di dunia dan menyarung jersi Barcelona seperti idolanya sendiri.

Dan lebih menarik, pada 2026, bayi itu akan bertemu idola yang memandikannya itu di pentas akhir Piala Dunia.

Jurugambar, Joan Monfort, turut mendedahkan bahawa Messi sebenarnya kelihatan agak kekok kerana tidak biasa mengendalikan bayi.

Namun sesi fotografi itu berjalan lancar dan menghasilkan gambar yang kini dianggap sebagai salah satu foto paling ikonik dalam sejarah bola sepak.

Menariknya, gambar itu tidak menjadi perhatian dunia sehinggalah pada tahun 2024 apabila bapa Lamine, Mounir Nasraoui, memuat naik semula foto tersebut di media sosial.

Dia menulis kapsyen: “Permulaan 2 legenda.”

Gambar Messi Mandikan Lamine Yamal Ketika Bayi, Ini Kisah Sebenar Di Sebalik Foto Ikonik Itu

Sejak itu, gambar berkenaan menjadi tular dengan ramai peminat menyifatkannya seolah-olah simbolik kepada “penyerahan obor” daripada Messi kepada generasi baharu Barcelona.

Apabila Lamine Yamal muncul sebagai fenomena bola sepak dunia, sekeping gambar biasa itu akhirnya berubah menjadi salah satu detik paling bermakna yang pernah menghubungkan dua generasi yang berbakat.

UNICEF dalam hantarannya di X menulis:

“Ya, gambar yang anda lihat itu sememangnya asli.

“Lebih 18 tahun lalu, seorang bayi bernama Lamine Yamal bersama ibunya, Sheila, bertemu Lionel Messi dalam satu sesi fotografi kutipan dana anjuran UNICEF.

“Hari ini, kedua-duanya mencipta inspirasi melalui pencapaian mereka di atas padang. Di luar padang pula, Messi dan Lamine Yamal menggunakan suara serta pengaruh mereka sebagai Duta Muhibah UNICEF untuk menyokong dan memperjuangkan hak kanak-kanak di seluruh dunia.

“Matlamatnya ialah memastikan setiap kanak-kanak dapat terus hidup, membesar dengan sihat, berkembang mengikut potensi mereka dan merealisasikan impian masing-masing.

“Kami berbangga kerana mereka adalah sebahagian daripada pasukan UNICEF.

“Kredit foto kepada Joan Monfort.”