Media sosial sentiasa menjadi tempat di mana pelbagai ragam manusia bertemu, dari perbincangan serius sehinggalah ke jenaka ringan.

Namun, sebuah gurauan santai baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat, membuktikan bahawa sempadan antara jenaka dan sensitiviti boleh menjadi sangat nipis, terutamanya apabila ia melibatkan kumpulan peminat setia.

Gara-Gara Komen Wajah Wan Chai & RM BTS Iras, Syarikat E-Hailing Ini Dihujani Tuntutan Maaf
Sumber Gambar: Threads

Kecoh di laman sosial Threads baru-baru ini apabila sekeping gambar penyanyi rap antarabangsa dari kumpulan BTS diletakkan bersebelahan dengan figura tempatan, Wan Chai.

Menariknya, rata-rata netizen melihat ada iras di antara kedua-dua wajah tersebut dan menganggapnya sebagai satu perbandingan rawak yang menghiburkan.

Keadaan mula menjadi panas apabila akaun rasmi sebuah syarikat e-hailing turut serta meninggalkan komen di hantaran tersebut.

“Kenapa post gambar sama dua kali?” tulis pentadbir akaun e-hailing itu secara berseloroh.

Bagi kebanyakan pengguna internet awam, komen tersebut hanyalah satu seloroh. Mereka melihat ia bukan bertujuan untuk merendahkan fizikal sesiapa, apatah lagi untuk memalukan mana-mana pihak. Mereka hanya sekadar bersetuju dengan ciapan asal yang menyatakan mungkin ramai tidak perasan persamaan wajah kedua-dua individu terbabit.

Tetapi, respons yang diterima dari kem peminat kumpulan K-Pop tersebut, yang dikenali sebagai ARMY, adalah sebaliknya. Mereka berasa sangat tersinggung dan menganggap gurauan jenama terbabit sebagai satu bentuk buli siber serta penghinaan terhadap rupa paras idola mereka. Tindakan pantas mula diambil oleh ahli fandom ini untuk mempertahankan artis kesayangan mereka.

“Kalau kita tak lindungi mereka, mereka akan terus dibuli. Perangai tak betul memang kena lapor biar ada akal, jadi pengajaran,” tegas seorang peminat di ruangan komen.

Kemarahan ini bukan sekadar luahan kata-kata. Fandom tersebut telah menggerakkan kempen secara besar-besaran untuk melaporkan akaun syarikat tersebut. Lebih mengejutkan, mereka siap menyediakan templat aduan rasmi di dalam platform perkongsian dokumen awam.

Templat tersebut disediakan lengkap dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris bagi memudahkan ribuan peminat lain menghantar e-mel bantahan kepada pihak pengurusan tertinggi e-hailing terbabit.

“Tak sabar nak spam e-mel syarikat kamu sampai kena tamat perkhidmatan. Lain kali nak muat naik hantaran, berfikir dahulu,” luah seorang lagi peminat yang jelas berang dengan insiden itu.

Perkembengan terkini, wakil inDrive secara rendah diri memohon maaf atas kekecohan yang berlaku dan menjelaskan bahawa hantaran berkenaan dibuat sekadar hiburan ringan.

Pentadbir akaun terbabit menegaskan tiada sekelumit pun niat untuk melakukan penghinaan rupa paras, melaga-lagakan mana-mana pihak, atau menyinggung perasaan sesiapa, serta tidak menyangka gurauan ringkas itu boleh menjadi isu sebesar ini.