Keinginan untuk melihat anak-anak tersenyum bahagia adalah impian setiap ibu bapa. Kadang-kadang, demi memenuhi impian si kecil, ada yang sanggup melakukan apa sahaja.

Bagaimanapun, sebuah hantaran yang tular baru-baru ini di media sosial telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat mengenai had kemampuan, gaya hidup, dan bagaimana kita menjaga maruah diri dalam dunia digital.

Hasrat Ibu Dan Rayuan Kepada Biduanita Negara

Kisah ini bermula apabila seorang ibu meninggalkan komen di akaun media sosial penyanyi kesayangan ramai, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Wanita tersebut merayu agar penyanyi itu dapat membantu mencukupkan baki wang bagi membeli satu set buku dan set mewarna yang sangat diinginkan oleh anaknya.

Dalam komen yang tular itu, dia menulis:

“ctdk kalau sudi topup sikit untuk beli gift kat anak saya satu set buku dan set coloring ni. Dia suka sangat sangat. Tapi mahal sangat, saya tak mampu. Saya dah kumpul duit pun baru dapat RM400.. lagi RM400 tak cukup. Tapi saya memang nak sangat tengok dia happy dapat set mewarna tu.”

Meskipun si ibu sudah menunjukkan usaha dengan berjaya mengumpul RM400, nilai keseluruhan set tersebut yang mencecah RM800 dianggap terlalu tinggi bagi segelintir pihak, terutamanya untuk barangan berbentuk alat tulis dan buku kanak-kanak.

RM800 Untuk Set Mewarna? Netizen Mula Mempersoal

Melihat kepada angka tersebut, rata-rata netizen terkejut dan mula mempersoalkan keperluan membeli set mewarna yang begitu mahal. Ruangan komen segera dihujani dengan pelbagai reaksi yang pelbagai sudut pandang.

Ada yang memahami naluri seorang ibu yang mahu memberikan yang terbaik untuk zuriatnya, namun majoriti netizen menasihati wanita berkenaan agar bersikap lebih realistik.

Bagi netizen, dalam situasi ekonomi hari ini, wang sebanyak RM400 yang sudah dikumpul itu sebenarnya sudah lebih daripada cukup untuk membeli set mewarna yang sangat berkualiti tinggi di pasaran biasa.

Ramai yang menyarankan agar wanita itu mencari alternatif yang lebih mampu milik daripada meminta bantuan orang lain untuk barangan yang dikategorikan sebagai kehendak mewah, bukannya keperluan mendesak.

Teguran Berhemah Daripada Fedtri Yahya

Isu ini turut menarik perhatian personaliti televisyen dan pengacara terkenal, Fedtri Yahya. Dikenali dengan bait-bait kata yang penuh puitis dan mendalam, beliau sempat meninggalkan sekuntum pantun di ruangan komen yang memberi refleksi mendalam buat masyarakat.

Fedtri menulis:

“Kalau lampu katakan lampu
Tak akan sumbu cahaya melimpah
Tak mampu akurlah tak mampu
Jangan sampai membuang maruah.”

Pantun empat kerat ini mendapat perhatian ramai kerana ia membawa mesej yang sangat jelas tentang kepentingan menjaga maruah diri.

Beliau mengingatkan bahawa tidak salah untuk mengaku tidak mampu, kerana menerima realiti kewangan sendiri adalah jauh lebih baik daripada merendahkan martabat diri demi mengejar sesuatu di luar kemampuan.

Sementara itu, perkongsian yang tular itu langsung menjadi perdebatan di kalangan netizen.

Gara-Gara Mahu Set Mewarna RM800, Tindakan Ibu Ini Minta Bantuan Siti Nurhaliza Cetus Perdebatan Netizen
Sumber Gambar: Threads

Majoriti netizen bersetuju dengan kenyataan Fedtri Yahya agar ibu bapa tidak meminta-minta kepada orang tidak dikenali dan cuba mengukur di baju sendiri apabila mahu mendapatkan sesuatu.

“Beli ikut kemampuan la kak..400 tu rasanya boleh dpt yg berkualiti dah..kawan ak elok je beli kt kedai eco..anak2 pakai elok je..,” tulis seorang netizen.

“Kalau satu masa dia matang berfikir, mesti rasa malu gilaa dengan apa yg dia buat ni,” ujar seorang netizen lain.

“Orang cam ni memang sah tak kenal erti malu. Guna anak sebagai modal pulak tuk tagih simpati. Puiii!,” tambah seorang lagi.

Pengajaran Buat Ibu Bapa Moden

Secara keseluruhannya, insiden ini membuka mata banyak pihak tentang realiti keibubapaan pada zaman moden. Kasih sayang kepada anak tidak seharusnya diukur dengan nilai ringgit atau jenama mewah yang kita berikan.

Anak-anak kecil selalunya mudah gembira dengan apa sahaja pemberian, asalkan ia datang bersama perhatian dan kasih sayang yang tulus daripada ibu bapa mereka.

Kejadian ini mendidik kita semua untuk kembali kepada konsep asas, iaitu ukur baju di badan sendiri. Menolak keinginan anak secara baik apabila di luar kemampuan bukanlah tanda kita gagal sebagai ibu bapa.

Sebaliknya, ia adalah satu peluang keemasan untuk mendidik anak-anak tentang erti bersyukur, berjimat cermat, dan memahami realiti kehidupan yang sebenar.