Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang Muslim yang sudah baligh dan waras untuk menunaikan solat tanpa gagal. Malah, agama Islam turut menekankan buat para ibu bapa untuk mengajar anak-anak solat sejak dari kecil.

Dalam pada itu, lain ceritanya pada kali ini apabila seorang bapa yang memaksa anak lelakinya berusia 13 tahun untuk solat dikenakan hukuman gara-gara mengugut menggunakan pisau.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tindakan yang dianggap jenayah ini telah membuatkan tertuduh, Ardi Aris berusia 32 tahun dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan oleh Mahkamah Majisret.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya dengan mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Tawau pada 4 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, lelaki ini didakwa mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh ke rumah bekas iparnya sebelum meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau dan mengacu senjata itu ke arah mangsa serta mengarahkannya menunaikan solat.

Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya itu, sebelum ibu saudaranya menghubungi polis.

Tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta dan sudah bercerai dengan isterinya sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Ogos lalu.