Ketua jurulatih skuad kebangsaan Chinese Taipei, Gary White berpendapat corak permainan Malaysia mudah diramal dan pasukan negara seolah-olah memasuki perangkap yang telah disusun pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Gary berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan dimana meskipun tewas dengan keputusan 3-1, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya yang mana berjaya mendahului pada separuh masa pertama.

Baca Juga:

“Corak permainan kami sangat berkesan hari ini (semalam). Sebagai pasukan pelawat, kami menampilkan permainan taktikal yang bagus. Kami tahu mereka (Malaysia) akan menyerang dari awal dan meninggalkan ruang di belakang. Sesi latihan kami sebelum perlawanan ialah bagaimana untuk memasuki ruang yang bakal ditinggalkan dan semua berjalan mengikut perancangan, kecuali penyudah kami.

“Secara jujurnya, corak permainan Malaysia mudah diramal. Mereka dibarisi pemain yang baik namun pemain kami kerap berada dalam kawasan lawan untuk membuat serangan. Tapi perlawanan ini bagus kerana pemain saya boleh belajar dari kesilapan yang dilakukan,” kata Gary White.

Pasukan lawan membuka tirai jaringan menerusi Yu Yao-hsing ketika aksi memasuki minit ke-20.

Gol Chinese Taipei itu berpunca daripada hantaran lolos Ange Kouame yang mencari Yao-hsing lalu beliau mudah menewaskan penjaga gol Malaysia, Azri Ghani.

Kemasukan Sergio Aguero pada babak kedua memberikan idea lebih segar buat jentera serangan Malaysia dan hampir membuahkan hasil pada minit ke-49. Namun, jaringan Akhyar dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus empat minit kemudian apabila percubaan Safawi dari luar kawasan penalti setelah menerima umpanan Aguero gagal diselamatkan dengan baik penjaga gol, Chieh Pan-Wen untuk kedudukan kembali terikat.

Paulo Josue kemudiannya meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-69 selepas beliau menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada La’vere Corbin-Ong.

Pemain yang membuat penampilan kedua bersama skuad negara, Adib Ra’op mendapatkan jaringan sulungnya pada lewat aksi untuk Malaysia mengesahkan kemenangan 3-1.

Namun kemenangan ini tidak cukup ekoran Kyrgyzstan mencatat keputusan seri ketika berdepan Oman dan Malaysia terpaksa beraksi di pusingan ketiga bagi kelayakan Piala Asia 2027.