3 lagi syarikat startup negara bakal berkembang dan meluaskan pengaruh mereka selepas melepasi pemilihan panel tempatan (LSP) oleh Endeavor Malaysia.
Syarikat tersebut ialah RPG Commerce, PolicyStreet, dan Pop Meals di mana Endeavor Malaysia melihat potensi besar yang ada dalam ketiga-tiga jenama ini. Mereka telah lulus sesi pemilihan secara merit yang ketat dan menunjukkan potensi jenama mereka untuk berkembang ke peringkat seterusnya dengan latihan dan tunjuk ajar daripada mentor di Endeavor malaysia.
Baca Juga:
- Endeavor Malaysia Lancar ‘ScaleUp Program’ Ketiga Untuk Bantu Usahawan Berpotensi Tinggi
- Dropee Raih Pembiayaan RM32 Juta, Sedia Lebar Sayap Ke Pasaran Luar Dengan Sokongan Endeavor
- HealthMetrics Dan Lapasar Lepasi Pemilihan, Bakal Terima Sokongan Endeavor Malaysia
PolicyStreet memudahkan produk dan proses di dalam industri insurans yang sebelum ini terlalu bergantung dengan kaedah traditional. Dengan usaha mereka, ia kini mempunyai akses kepada lebih 40 penyedia insurans dan telah membantu mencipta polisi untuk rakan niaga mereka antaranya foodpanda, Grab, ShopeeFood dan banyak lagi.
Anda mungkin pernah membuat pesanan di Pop Meals sebelum ini. Misi Pop Meals adalah untuk menyediakan hidangan makanan yang harganya berpatutan, mudah dan menarik. Dengan bantuan data dan teknologi di 32 cawangan, Pop Meals menerima 94 peratus review positif daripada pelanggan dengan 95 peratus kadar pesanan semula daripada pelanggan.
RPG Commerce pula ialah jenama direct-to-consumer yang mempunyai 10 jenama di bawahnya antaranya Montigo, BottomsLab Eubi, Thousand Miles, dan banyak lagi.
“Para calon telah menunjukkan perkembangan yang hebat dalam tempoh beberapa tahun ini. Bagaimanapun, untuk memasuki pasaran baharu atau menambah produk dan servis di bawah seliaan mereka merupakan satu prosedur yang memerlukan persediaan rapi untuk memastikan kelancaran syarikat.
“Endeavor dikenali sebagai entiti yang meluangkan masa dan kemahiran untuk menasihati para usahawan baharu dalam membuat keputusan yang tepat. Saya juga satu ketika dahulu pernah berada di kedudukan mereka. Kami berharap syarikat yang melepasi sesi pemilihan kali ini dapat mencari peluang untuk terbang lebih tinggi dengan bimbingan Endeavor,” kata pengasas bersama & Group CEO di Carsome, Eric Cheng merangkap seorang panel pemilihan pusingan ini.
Cheng ditemani Kevin Brockland (Managing Partner di Indelible Ventures), Prashant Kumar (Pengasas Entropia, Accenture Song) dan John Lim (pengasas bersama & CTO di Juris Technologies) sebagai panel.
Melvin Chee (Co-Founder & CEO di RPG Commerce), Yen Ming Lee, Wilson Beh, Winnie Chua (pengasas bersama PolicyStreet) dan Jonathan Weins (pengasas bersama dan CEO of Pop Meals) akan ke peringkat International Selection Panel pula, di mana mereka akan mempunyai akses kepada komuniti,mentor dan rakan niaga di peringkat global.