Pengadil yang sebelum ini mencetuskan kontoversi, David Coote telah digantung oleh UEFA susulan komen menghina terhadap Jurgen Klopp yang menyebabkan pemecatannya dalam saingan English Premier League.
Segala-galanya menjadi masalah buat Coote selepas tular satu video pada penghujung tahun lalu yang menunjukkan dia membuat kenyataan menghina mengenai Liverpool dan bekas pengurus mereka, Klopp.
Baca Juga:
- Pengadil ‘Benci Liverpool’ Kali Ini ‘Kantoi’ Main Barang Pula
- Pengadil EPL Ini Digantung Selepas Gelar Liverpool ‘Sampah’
- Klopp Kritik Ten Hag Kerana Lepaskan Sancho Ke Chelsea
Jelas kedengaran bekas pengadil itu menggunakan kata-kata kesat untuk menggambarkan Klopp dan menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap jurulatih Jerman tersebut.
Susulan penularan rakaman tersebut, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) segera mengambil tindakan dengan menggantung Coote daripada tugas pengadilannya.
Bagaimanapun, situasi semakin teruk apabila video kedua muncul, yang kelihatan menunjukkan Coote yang berusia 42 tahun itu mengambil dadah untuk menenangkan dirinya.
Dengan kedudukannya yang semakin sukar dipertahankan, PGMOL memutuskan untuk menamatkan kontrak Coote, dengan alasan tingkah lakunya yang sangat buruk.
Berkait dengan perkara tersebut, UEFA pula mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan penggantungan Coote daripada tugas pengadilan dalam semua pertandingan di bawah bidang kuasanya sehingga 30 Jun 2026.
Menurut sumber laporan Goal, badan induk bola sepak benua itu juga memetik pelbagai pelanggaran peraturan disiplin, termasuk pelanggaran terhadap standard asas tingkah laku yang sopan dan mencemarkan imej sukan tersebut.
Selain daripada keputusan UEFA, Coote masih dalam siasatan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) berhubung dakwaan melanggar peraturan pertaruhan.
Bekas pengadil itu dengan tegas menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti perjudian yang tidak sah, tetapi siasatan oleh FA masih berjalan.