Salah seorang pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu David Coote digantung buat sementara waktu selepas tular satu video di laman media sosial yang menunjukkan beliau menghina Liverpool dan bekas pengurus pasukan itu iaitu Jurgen Klopp.

Coote, yang bertugas ketika kemenangan 2-0 Liverpool menentang Aston Villa pada minggu lalu, dirakam dalam satu video dimana beliau menggelar bos Reds ketika itu Klopp sebagai ‘anak haram Jerman’ dan seorang pengurus yang ‘sombong’.

Baca Juga:

Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), badan yang mengendalikan pengadil EPL dalam satu kenyataan berkata mereka memutuskan untuk menggantung Coote buat sementara waktu.

‘David Coote telah digantung berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan penuh. PGMOL tidak akan membuat ulasan lanjut sehingga proses itu selesai,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Siasatan yang dijalankan oleh PGMOL berada di peringkat awal penyiasata dan terdapat kemungkinan video itu palsu atau dibuat menggunakan kecerdasan buatan ataupun ketika Coote sedang mabuk dan separa sedar.

Dalam video tersebut, Coote mengimbas kembali salah satu perlawanan yang melibatkan Liverpool dimana ketika itu beliau bertugas sebagai pengadil utama.

Perlawanan yang dimaksudkan oleh Coote dalam video itu ialah perlawanan kontroversi Liverpool yang turun menentang Burnley pada 2020 dimana aksi tersebut tamat dengan keputusan 1-1.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Liverpool keciciran mata buat kali pertama di laman sendiri musim itu, Andy Robertson dirakam kamera dengan penuh emosi ketika berdepan dengan Coote dan menghamburkan kata-kata kasar selepas tidak diberikan penalti.

David Coote telah menjadi pengadil Liga Perdana sejak 2018 dan sejak itu telah banyak bertembung dengan Klopp, yang meninggalkan Anfield pada penghujung musim lalu.

Pada pertengahan musim lalu semasa pertembungan Arsenal dengan Liverpool pada Disember, Klopp melepaskan kemarahannya kepada Coote dan seluruh pegawai perlawanan selepas pasukannya dinafikan penalti walaupun bola terkena Martin Odegaard dalam kawasan penalti lawan.